Mereka sepatutnya dilayan sebagai equal partner dengan Semenanjung Malaysia
ANALYSIS
Sejak akhir-akhir ini suara rakyat Sabah dan Sarawak semakin lantang
memperjuangkan hak mereka. Mereka berkata mereka yang membentuk Malaysia
maka Sabah dan Sarawak bukannya setaraf dengan negeri-negeri lain di
Semenanjung.
Mereka sepatutnya dilayan sebagai equal partner dengan Semenanjung
Malaysia. Dahulu ada ISA, orang tidak berani bercakap secara bebas
kecuali Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang ketika itu Pengarah Yayasan Sabah
yang lantang bersuara hal autonomi Sabah sehingga sanggup ditahan di
bawah ISA.
Kini ISA sudah tiada, setiap hari rakyat berani bersuara dalam
Facebook seolah-olah kerajaan pusat menekan rakyat Sabah dan Sarawak.
Mungkinkah Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) akan berpisah dengan
Malaysia Barat (Semenanjung) seperti Pakistan Timur dan Pakistan Barat?
Jika momentum yang berlaku sekarang berterusan, tidak mustahil dua
pilihanraya lagi (2023) Sabah dan Sarawak akan merdeka dari Malaysia.
Para pemimpin Sabah dan Sarawak kecewa kerana kerajaan Malaysia
menganggap Sabah dan Sarawak sama dengan Johor atau Melaka atau Perlis
sedangkan pada hakikatnya kedudukan mereka tidak sama. Sebab itu di
Johor, jawatan eksekutif peringkat negeri dipanggil Exco dan Timbalan
Exco sedangkan di Sabah dan Sarawak dipanggil menteri dan pembantu
menteri (Sabah) serta menteri dan menteri muda (Sarawak).
Tan Sri Adenan Satem yang baru ambilalih kepimpinan negeri pada 28
Februari lalu telah menunjukkan taring dengan menyekat beberapa pemimpin
PKR dari memasuki Sarawak seperti Datuk Saifudin Nasution. Alangkah
anehnya dalam satu negara rakyat Malaysia tidak bebas masuk ke negeri
lain dalam Malaysia. Malah beliau mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyamannya.
Tetapi itulah kuasa autonomi Sarawak dan Sabah dalam Malaysia. Malah
orang Semenanjung hendak bekerja di Sabah dan Sarawak kena memohon
permit kerja. Kan pelik. Apa salahnya perkara-perkara tertentu
dibatalkan kerana Malaysia sudah 51 tahun terbentuk.
Takdirnya Sabah dan Sarawak merdeka, dapatkah mereka menguruskan
kerajaan negeri dengan lebih baik? Sarawak di bawah kepimpinan Tan Sri
Taib Mahmud dikatakan mempunyai rezab sebanyak RM26 billion tetapi masih
mundur. Pembangunan di Sarawak masih ketinggalan seperti jalan raya dan
kemudahan asas yang lain.
Kenapa Taib Mahmud tidak gunakan duit RM26 bilion ini untuk majukan
Sarawak? Kenapa perlu menunggu peruntukan kerajaan pusat? Ada yang
mengatakan kemudahan asas itu adalah tanggungjawab kerajaan pusat dan
bukannya tanggungjawab kerajaan negeri.
Kalau begitu untuk apa RM26 billion itu kalau rakyat Sarawak
berbilang kaum masih miskin? Ada yang menganggap jika Umno memerintah
Sarawak, negeri Sarawak tak mampu dapat rezak sebanyak RM26 billion.
Apa yang berlaku di Sabah apabila ketua menterinya, Datuk Seri Musa
Aman diremote control oleh Kuala Lumpur, maka Sabah tidak banyak duit
seperti Sarawak. Sebab itu Datuk Abang Johari dihalang menjadi Ketua
Menteri kerana kononnya Abang Jo lebih rapat dengan para pemimpin Umno.
Apa makna mengekalkan PBB di Sarawak kalau kemiskinan di Sarawak masih tinggi?
Kerana Sabah dan S’wak BN berkuasa
Kenapa perlu ada double standard
bahawa Umno boleh masuk di Sabah tetapi tidak boleh masuk di Sarawak
seolah-olah Umno mahu menjajah Sarawak pula.
Dari satu segi, apa yang Tunku Abdul Rahman buat pada tahun 1963
dahulu orang tidak nampak. Kalau Tunku tidak bawa Sabah dan Sarawak
dalam Malaysia, sudah lama BN bungkus di Malaysia. Tetapi kerana adanya
Sabah dan Sarawak maka BN masih berkuasa di Putrajaya.
Tunku bimbang masa depan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak jika ia
berada di luar Malaysia. Sebab itu kaum Bumiputera patut berterima
kasih kepada Tunku yang mencadangkan penubuhan Malaysia.
Saya masih ingat kenyataan Datuk Karim Ghani sebagai pegawai kerajaan
yang terlibat dalam Suruhanjaya Cobbold. Kalau tidak kerana peranannya,
Sabah tidak berada dalam Malaysia kerana majoriti Bumiputera bukan
Islam tidak mahu berada dalam Malaysia.
Mereka mahu Sabah ditadbir sendiri. Tetapi jika Sabah dan Sarawak
merdeka ketika itu, sudah tentu mereka akan ditelan oleh Indonesia.
Sebab itu Tun Datu Mustapha berfikiran jauh bahawa Bumiputera Islam
perlu berada dalam Malaysia.
Mungkin pemerintahan PBS di Sabah pada tahun 1985 patut dijadikan
ikhtibar kenapa Bumiputera Islam seperti orang Bajau, Suluk, Sungai,
Bisaya dan Brunei perlu berada dalam Malaysia. Ketika itu PBS dikatakan
menindas orang Islam. Pegawai kerajaan beragama Islam ditindas.
Jika Sabah merdeka, apakah hak-hak Bumiputera Islam akan terjamin?
Sebab itu mereka perlu berfikir nasib mereka jika mereka mahu keluar
dari Malaysia. Dapatkah Bumiputera Islam bersaing secara merit dengan
Bumiputera bukan Islam jika Sabah berada di luar Malaysia.
Sentimen anti Semenanjung masih tebal di kalangan rakyat Sabah dan
Sarawak kerana mereka menganggap pegawai kerajaan yang bekerja di negeri
tu sebagai penjajah. Kalau ditanya mereka yang bekerja sebagai guru,
mereka lebih suka mengajar di Semenanjung daripada mengajar di Sabah dan
Sarawak. Begitu juga yang bekerja sebagai polis. Mereka lebih suka
bekerja di Semenanjung daripada bekerja di Sabah dan Sarawak yang
terpaksa berpisah dengan keluarga.
Tetapi apakan daya kerana tugas mereka kena pergi ke Sabah dan
Sarawak. Oleh itu sebelum adakan referendum sama ada rakyat Sabah dan
Sarawak mahu keluar dari Malaysia, maka jawatan guru dan polis serta
lain-lain jawatan perlu diisi rakyat tempatan terlebih dahulu.
Apabila mereka sudah bersedia mengisi semua jawatan yang ada,
bolehlah Sabah dan Sarawak dibebaskan dari Semenanjung Malaysia. Seperti
kata Dr Jeffrey Kitingan baru-baru ini PKR sama dengan Umno yang tidak
mahu beri kuasa autonomi kepada Sabah dan Sarawak.
Oleh itu terpulanglah kepada rakyat Sabah dan Sarawak sama ada mereka
mahu kekal dalam Malaysia atau keluar dari Malaysia. Soalnya, jika
mereka keluar, ammpukah mereka mengurus kerajaan negeri seperti
Singapura yang tiada hasil masyhul tetapi kaya raya.
Sarawak kaya tetapi kenapa rakyatnya miskin manakala adakah para
pemimpin Umno dari Semenanjung yang merompak kekayaan Sabah? Oleh itu
tepuk dada tanya selera.