Penerbangan Malaysia (MAS) menawarkan tambang promosi dengan memberikan diskaun sehingga 50 peratus bagi semua rangkaian penerbangannya untuk tempoh perjalanan antara 19 Ogos ini hingga 31 Mei, 2014. Syarikat penerbangan kebangsaan itu dalam kenyataannya berkata, tempahan bagi tambang promosi itu dibuka mulai sekarang hingga 25 Ogos.
Naib Presiden Kanannya bagi Malaysia, Muzammil Mohamad berkata promosi itu adalah lanjutan kepada hadiah sempena sambutan ulang tahun ke-40 MAS yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.
“Selepas Aidilfitri, keluarga kini membuat rancangan untuk percutian hujung tahun pula sempena cuti sekolah pula,” katanya.
Beliau juga berkata, susulan pengenalan semula perkhidmatan MAS ke Dubai, syarikat penerbangan itu akan menawarkan tambang promosi dari RM1,999 bagi tambang kelas ekonomi termasuk untuk pergi balik dan RM5,999 bagi kelas perniagaan.
Sempena pengenalan perkhidmatan ke Kochi pula, katanya, MAS menawarkan tambang pengenalan dari RM1,099 bagi tambang pergi balik kelas ekonomi dan RM2,199 bagi kelas perniagaan.
Sumber: Berita Harian