PETALING JAYA 6 Feb: Takut kebangkitan rakyat yang menuntut perubahan, Umno BN kini pula menekan enam tentera yang didakwa hadir Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu.
Salah seorang dari mereka adalah tentera darat dan selebihnya tentera laut.
Presiden Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan), Asri Buang berkata, semua tentera terbabit mengikut maklumat keluarga mereka bakal dipecat sekiranya didapati terlibat dalam himpunan itu.
Turut menerima ugutan adalah ahli keluarga mereka.
“Kita dapat maklumat isteri kepada tentera tersebut mendapat tekanan menyatakan suami mereka akan dipecat dan semua elauan serta pencen akan disekat. Sehingga sekarang tiada penggantungan tugas, tapi mereka berdepan kesalahan dalam ketenteraan.
“Tentera darat tersebut adalah wakil pemain skuasy Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Lans Koperal yang berpangkalan di Batalion 1 Sungai Besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Menurutnya, mereka disiasat berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam laman facebook masing-masing.
Mereka disabitkan pertuduhan di bawah Akta Angkatan Tentera Malaysia Seksyen 89 (memudaratkan perkhidmatan).
“Di bawah akta ini ia ditafsirkan sebagai memudaratkan perkhidmatan dan kesalahan tidak diletak secara umum. Contohnya, tidak pakai butang baju juga akan dikenakan di bawah akta ini. Jika disabitkan kesalahan mereka akan ditamatkan perkhidmatan,” jelasnya.
“Setakat ini hanya enam anggota yang tampil kepada kita. Mungkin ramai juga yang dapat tekanan yang sama tanpa pengetahuan kita, datanglah berjumpa kami,” katanya.
Tegas beliau, tiada sebab untuk mereka dikenakan tindakan memandangkan tiada satu pun akta boleh mengaitkan kesalahan keenam-enam tentera itu.
“Menurut undang-undang yang ada, anggota tentera yang masih dalam perkhidmatan bebas untuk menyertai mana-mana perhimpunan yang dibenarkan.
“Dengan syarat individu tersebut tidak menyertai mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau parti-parti politik serta tidak membahayakan keselamatan awam,” kata Asri.