KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Kepelbagaian yang ada di Malaysia merangkumi kaum, bahasa, budaya dan agama adalah pemangkin yang penting untuk pertumbuhan negara, kata penerima Anugerah Kepimpinan Malaysia Datuk F. R. Bhupalan.
Justeru katanya, rakyat Malaysia harus menghayati kepelbagaian itu yang akan melahirkan kaedah lebih baik dalam melakukan sesuatu serta penyelesaian di luar kotak demi kebaikan negara.
"Kepelbagaian ini meletakkan Malaysia di tempat yang istimewa di dunia dan menjadi kelebihan kepada negara untuk bersaing dengan negara lain.
"Akan tetapi di sebalik kepelbagaian ini kita jangan lupa untuk bersatu sebagai satu entiti. Amat penting bagi kita bersatu agar kita dapat menjadikan negara ini yang terbaik di dunia," katanya dalam ucapan penerimaan anugerah itu pada jamuan malam sempena Sidang Kemuncak Global Wanita, di sini malam ini.
Anugerah itu disampaikan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama Presiden sidang itu Irene Natividad.
-- LAGI
KEPELBAGAIAN-PERTUMBUHAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Anugerah Kepimpinan Malaysia dianugerahkan kepada individu yang banyak menyumbang kepada kebajikan masyarakat selain menunjukkan kepimpinan yang baik dalam memperbaiki kehidupan rakyat.
Sementara itu, Bhupalan, 86, berkata wanita mesti bangkit berganding bahu dengan kaum lelaki untuk menjadikan negara ini lebih baik.
"Kita tidak boleh berdiri di belakang atau di hadapan lelaki kerana ini tidak akan berjaya. Kita mesti bersama-sama sebagai satu entiti demi negara tercinta ini," kata aktivis sosial itu.
Pada majlis itu juga perwakilan dari Afrika Selatan menerima Anugerah Kementerian 2013 sebagai pengiktirafan kepada usaha negara berkenaan dalam meningkatkan taraf kehidupan kaum wanitanya menerusi teknologi maklumat.-- BERNAMA