Bieber dan scooter Braun bakal menjadi angkasawan terbaru selepas bersetuju menandatangani perjanjian dengan Richard Branson.
Penyanyi terkenal tempah kerusi pesawat Virgin Galactic
Los Angeles: Bintang pop Kanada, Justin Bieber menjadi selebriti terbaru naik ke angkasa lepas selepas dilaporkan menandatangani persetujuan melakukannya dengan pesawat Virgin Galactic milik usahawan Britain, Richard Branson.
Branson membuat pengumuman pada Rabu lalu dalam Twitter bahawa Bieber, 19 bersama pengurusnya, Scooter Braun adalah ‘bakal angkasawan’ terbaru.
Bieber kemudian membalas tweet itu dengan berkata: “Mari kita rakam video muzik di angkasa lepas!!!”
Pesawat angkasa lepas komersial Virgin Galactic bakal memulakan penerbangan tahun depan.
Ia dilaporkan sudah menarik beberapa penumpang terkenal termasuk ahli fizik Stephen Hawking selain pelakon Tom Hanks, Brad Pitt dan Angelina Jolie.
Lelongan kebajikan
Pada satu lelongan kebajikan ketika pesta filem Cannes bulan lalu, seorang tetamu membayar AS$1.2 juta (RM3.6 juta) untuk menempah tempat duduk sebelah pelakon, Leonardo DiCaprio dalam Virgin Galactic.
Tahun lalu, aktor siri komedi ‘Two and a Half Man’, Ashton Kutcher menjadi orang ke-500 menandatangani kontrak untuk ke angkasa lepas dengan pesawat berkenaan.
Pesawat ‘SpaceShipTwo’ Virgin Galactic itu mempunyai enam kerusi penumpang yang dipandu dua juruterbang.
Satu tempat duduk dianggarkan berharga AS$250,000 (RM750,000) dan akan membawa penumpang pada ketinggian kira-kira 109 kilometer untuk mereka merasai sendiri pengalaman dan suasana tanpa graviti dan melihat Bumi dari angkasa lepas.
Jalani pelbagai ujian
Roket ‘SpaceShipTwo’ pada masa ini sudah menjalani pelbagai ujian sebagai persediaan untuk perjalanan ke angkasa lepas pertamanya dengan membawa Branson dan keluarga beliau yang dijadualkan pada akhir tahun ini.
Virgin Galactic adalah sebahagian daripada Virgin Group milik Branson. - REUTERS
Sumber: beritaharian.com