Kononnya kolam udang...
KAMPUNG Tanduo yang dahulunya menjadi kediaman bagi 20 buah keluarga, kini bagi sudah tidak bernyawa.
Ia terpaksa ditutup selepas dikatakan menjadi lokasi dan kubu pengganas Kiram.
Semalam, kami berpeluang menyelusur semula kisah pahit itu. Bagai terdengar bunyi tembakan sepanjang berada Kampung Tanduo yang pernah menjadi penempatan pengganas Kiram.
Selepas serangan ofensif dilancarkan pasukan keselamatan pada 5 Mac lalu penduduknya diarah berpindah bagi mengelak lokasi itu terus menjadi kubu kuat pengganas.
Sewaktu fikiran sedang melayang dan membayangkan apa yang terjadi pada kampung ini, kami diberitahu terdapat sebuah muara sungai yang diempang dipercayai untuk memudahkan pengganas mendarat menggunakan bot dari laut lepas.
Menurut pasukan keselamatan, muara sungai itu terletak berhampiran rumah salah seorang suspek pengganas yang kini ditahan.
Rumah yang terlindung itu kononnya dijadikan kolam ternakan udang bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Muara sungai itu cetek, mereka gunakan jengkaut untuk mendalamkan muara dan kami yakin mereka menyusup masuk melalui kaedah ini berdasarkan denai di kawasan belukar hingga ke rumah penduduk tempatan yang kita percaya dijadikan tempat penginapan,” katanya.
Jelasnya lagi, pengganas menggunakan bot laju, pancung bagi mengelak dikesan dan kegiatan ini dipercayai dilakukan waktu malam.
“Jarak muara sungai dari Kampung Tanduo ini adalah kira-kira setengah jam dari kepulauan di Filipina dan ia menjadi pilihan pengganas masuk,” katanya.
Manakala sebuah lagi lokasi pendaratan adalah persisiran pantai di madrasah Kampung Tanduo yang terletak kira-kira satu kilometer dari muara sungai itu.
“Tentera penceroboh berkumpul di dua lokasi ini dalam jumlah yang ramai sebelum dikerah untuk berkubu di Kampung Tanduo,” katanya.
Tambahnya lagi, pengganas sudah merancang lama untuk masuk ke kawasan itu dengan dibantu penduduk yang merupakan saudara-mara mereka di situ.
“Mereka boleh dapat bekalan makanan dengan mudah. Masuk melalui muara sungai ini jalan terbaik,” katanya.
Tidak cukup dengan maklumat itu, kami kemudian dibawa ke lokasi dimaksudkan.
Dalam serangan ofensif lalu, pasukan keselamatan melancarkan serangan ke atas penceroboh dan kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 7 pagi melalui serangan udara.
Serangan dilakukan jet pejuang F18 dan Hawk diikuti mortar dan gerakan di darat oleh anggota tentera.
Pasukan komando mengepung kawasan itu bersama Pasukan Gerakan Am. Serangan itu dilakukan selepas lapan anggota polis maut dalam beberapa siri serangan bermula di Kampung Tanduo dan perkampungan air di Simunul, Semporna.
Baca lebih lanjut di
sini .