KUALA LUMPUR, 7 Jun — Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tidak akan mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan presiden Umno tahun ini, kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Datuk A Kadir Jasin, memetik sumber tidak dinamakan.
Akan tetapi pemerhati politik itu mengingatkan, Muhyiddin dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bantuan beberapa penulis blog pro Umno, telah menjadi “katalis” kepada persaraan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.
Persaraan awal Abdullah dari jawatan perdana menteri memberi laluan kepada Najib mengambil alih jawatan paling berkuasa di Malaysia itu sehingga kini, walaupun Barisan Nasional (BN) yang beliau pimpin semasa Pilihan Raya 2013 mendapat keputusan terburuk dalam sejarah negara.
“Muhyiddin dan Dr Mahathir masih memegang kunci ajaib itu,” kata Kadir dalam kemaskini tulisannya di blog semalam.
“Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Muhyddin Mohd Yassin, tidak akan mencabar Mohd Najib. Namun peranan Muhyiddin sebagai ‘penyelamat’ Umno ketika hari-hari gelap Barisan Nasional selepas PRU 2008 terus diingati dan diiktiraf,” tambah beliau lagi.
Wartawan veteran itu mengatakan beliau menerima banyak panggilan telefon berkenaan dengan tulisan asalnya pada Rabu mendakwa mempunyai maklumat baru mengenai reaksi kepada ketetapan Badan Perhubungn Umno Negeri Sembilan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingkan.
Dalam tulisan awalnya wartawan veteran itu mengatakan ahli akar umbi Umno seharusnya diberikan hak untuk menentukan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden boleh dicabar atau tidak dalam pemilihan parti itu yang perlu diadakan akhir tahun ini.
Menurut bekas ketua pengarang kumpulan akhbar milik Umno itu, Umno tidak akan mendapat 88 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya 2013, meningkat berbanding 79 kerusi yang mereka perolehi pada 2008 tanpa sokongan ahli.
“Wajar sangatlah mereka diberikan hak menentukan sama ada mereka mahu Mohd Najib dicabar atau tidak kerana Umno tidak akan memperoleh 88 kerusi keramat itu kalau ahli dan penyokong Umno tidak membulatkan tekad memangkah BN pada 5 Mei lalu,” kata Kadir dalam tulisan di blognya bertajuk, “Cabar Atau Tidak Biar Ahli Umno Tentukan.”
“Mereka juga perlu diberikan ruang dan peluang menyelami hati sanubari mereka sendiri sama ada mereka mahu Mohd Najib yang lebih rendah pencapaiannya kekal sebagai Presiden (dan seterusnya sebagai Perdana Menteri) setelah mereka menunjukkan pintu keluar kepada (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang menang lebih besar pada 2008,” tulis Kadir.
Dalam kemaskini terbarunya, Kadir mengatakan kini terdapat satu teori baru iaitu Najib tidak akan diubah sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri tetapi beliau akan disyaratkan berubah.
“Kalau teori ini benar-benar wujud dan praktikal, siapakah yang akan menentukan jenis perubahan yang Mohd Najib wajib lakukan?” soal Kadir.
Beliau turut mengatakan mendapat meklumat sesetengah penasihat Najib yang diserang teruk akibat prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya 2013 cuba mencari jalan keluar dan meneropong ke arah GLC sebagai tempat bergayut baru ekoran pelantikan Tan Sri Nor Mohamed Yackop sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional dan Pengerusi Majlis Kerja Khazanah.
“Manakala ada pelarian ‘lightweight’ PKR yang melompat masuk Umno diuar-uarkan akan dilantik Duta ke negara-negara strategik seperti Indonesia yang mungkin melemahkan lagi perhubungan kita dengan negara-negara jiran utama.”
Kadir bersetuju dengan kenyataan Najib dalam perhimpunan bulanan pertama Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini, BN sekarang menghadapi masalah persepsi negatif.
Menurutnya, imej Umno-BN dan persepsi mengenainya akan terus menjadi masalah kalau dakwaan-dakwaan terbuka seperti yang terbaru mengenai pemberian kontrak mencetak lapan juta naskhah manifesto BN dengan harga luar biasa atau mengenai adanya penasihat Najib memakai kereta mewah seperti Lamborghini selepas Pilihan Raya 2013 tidak dinafikan dengan fakta dan angka.
“Kalau bohong wajib dijawab bohong lengkap dengan fakta dan angka, kalau betul apakah tindakan yang PM berani lakukan?” katanya.
Source: themalaysianinsider.com