LAHAD DATU – Saki-baki kumpulan pengganas Sultan Sulu
diyakini berada dalam keadaan lemah ekoran Jeneral Raja Muda Azzumuddie Kiram
yang mengetuai pencerobohan di Sabah terbunuh bersama 31 anggotanya dalam
pertempuran di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di sini.
Sehingga semalam, jumlah musuh yang terbunuh sejak
pertempuran bermula pada 1 Mac lalu seramai 52 orang. Bagi pihak pasukan
keselamatan pula seramai lapan pejuang negara gugur.
Bagaimanapun, dalam pertempuran terbaharu kelmarin dan
semalam, tiada kematian atau kecederaan dialami pihak pasukan keselamatan.
|
Belum mendapat kesahihan |
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, 31 daripada
pengganas termasuk seorang ketua puak musuh yang berpangkat Jeneral maut dalam
pertempuran yang berlaku di Kampung Tanjung Batu petang kelmarin.
Seorang lagi pengganas berjaya ditembak mati pasukan
keselamatan dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada pukul 11 pagi semalam.
“Sejak petang semalam (kelmarin) hingga pukul 11 pagi ini
(semalam) pasukan keselamatan terlibat dalam beberapa pertempuran di Kampung
Tanjung Batu dan sekitar Kampung Tanduo,” kata beliau pada sidang akhbar di
sini semalam.
Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan status seorang
Jeneral yang terbunuh ialah Azzumuddie yang merupakan adik kepada Sultan Sulu,
Jamalul Kiram III.
“Setakat ini kita belum dapat mengesahkan identiti Jeneral
yang terbunuh berikutan keadaan yang berisiko dan membahayakan anggota
keselamatan bagi mengeluarkan mayat-mayat pengganas yang terbunuh,” kata
beliau. [ kosmo ]