LAHAD DATU 7 Mac - Ditawan kemudian dipenggal kepala merupakan
antara kekejaman yang tiada tara dilakukan pengganas Sulu ke atas anggota
keselamatan negara.
Bukan itu sahaja, seorang anggota pasukan keselamatan yang
turut ditawan dirodok perutnya menggunakan parang Sulu atau barong sebelum
dadanya dibelah dan dikeluarkan segala organ dalaman.
Badan wira negara juga ditetak sehingga bercerai beberapa
anggota badan sebelum dicampak ke laut manakala ada antara mereka maut kerana
kedua biji mata mereka dicungkil menggunakan senjata tajam.
Seorang lagi anggota pasukan keselamatan walaupun terselamat
menjadi cacat apabila kedua-dua belah tangannya kudung akibat ditetak dan
kepalanya dikelar menggunakan kerambit.
Kesemua wira negara itu diperlakukan sedemikian selepas
diserang hendap pada 2 Mac lalu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna.
Perbuatan yang sangat sadis dan tidak berperikemanusiaan itu
menimbulkan tanda tanya apakah mereka ini di bawah pengaruh dadah atau ilmu
hitam.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga
menyatakan beliau amat dukacita apabila niat suci Malaysia untuk tidak
membenarkan setitik darah tumpah di bumi Sabah dibalas dengan kekejaman oleh
pengganas Sulu terhadap anggota keselamatan.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi
Facebook hari ini mengesahkan, selepas operasi menyelamat dibuat anggota
komando VAT 69, mayat anggota polis ditemui dalam keadaan diperlaku dengan
penuh kejam.
"Apabila tiba di Kampung Simunul, pasukan polis
diserang hendap oleh penceroboh. Enam anggota polis terkorban manakala dua yang
lain cedera. Enam penceroboh bersenjata telah dibunuh pihak polis.
"Polis menghantar pasukan penyelamat untuk membawa
keluar mayat wira-wira kita. Mayat anggota polis ditemui dalam keadaan
diperlaku dengan kejam oleh penceroboh bersenjata tersebut," katanya.
Dalam serangan itu, enam anggota polis maut iaitu
Supritendan Ibrahim Lebar, Asisten Supritendan Micheal Padel, Sarjan Baharin
Hamit, Sarjan Aziz Sarikun, Koperal Salam Togiron dan Lans Koperal Mohd. Azrul
Tukiran.
Semua mereka yang maut itu kemudian diberi kenaikan pangkat
berkuat kuasa serta-merta sebagai menghargai jasa dan pengorbanan wira yang
diumumkan sendiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Terdahulu, pada 1 Mac lalu, pengganas Sulu juga bertindak
keji apabila berpura-pura menyerah diri dengan mengangkat bendera putih sebelum
menembak mati dua anggota komando VAT 69 dan mencederakan tiga yang lain di
Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Allahyarham Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 dan
Sarjan Sabarudin Daud, 46, yang menyangka pengganas Sulu ikhlas kemudian
bangkit daripada posisi meniarap menyebabkan kedua-dua mangsa maut ditembak di
kepala.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130308/dn_11/Pengganas-Sulu-bunuh-polis-dengan-kejam#ixzz2MtDtt7LE