Pada 1976, beliau berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau
sebagai guru bahasa Inggeris, dan pada 1983, berpindah ke SM Holy
Trinity sebelum dilantik Ketua Jemaah Nazir Sekolah Zon Tawau pada 1989.
Pada 1993, Mary Yap dilantik Pengetua SM St Patrick sebelum ke SMK
Jalan Apas, Tawau (1996), SM Vokasional Tawau (1996), SM Teknik Tawau
(2003) dan kemudian menjadi Pengetua Cemerlang.
Pada tahun yang
sama, Mary Yap menjadi Pengarah Maktab Perguruan Sandakan, dan setahun
kemudian menyandang jawatan Pengarah Maktab Perguruan Tawau sehingga
2005.
Penerima Anugerah Wanita Cemerlang Sabah Majlis Penasihat
Wanita Sabah (MPWS) bagi tahun 2004, Mary Yap kembali ke SM Teknik
Tawau pada 2005 dan dilantik Pengetua Super berjawatan JUSA C.
Selepas bersara, pemilik ijazah sarjana dalam bidang pendidikan dari
Universiti Leeds, United Kingdom itu menjadi perunding kanan Institut
Aminuddin Baki selama dua tahun dan beliau merupakan panel penasihat
kepada Menteri Pelajaran untuk sekolah kluster.
Mary Yap, yang
pertama kali bertanding pada pilihan raya umum tahun ini, memenangi
kerusi Parlimen Tawau dengan majoriti 4,979 undi dalam pertandingan
empat penjuru.
Anak seorang kerani, dilahirkan di Kota Kinabalu
dan dibesarkan di Tawau itu turut memiliki Ijazah Sarjana Muda
Kesusasteraan Inggeris Dengan Kepujian dan Diploma Pendidikan pada 1974,
serta memperoleh Sijil Trainer of Trainers melalui kursus pendek di
Universiti Manchester pada 1997.
Mary Yap terus menyumbang
baktinya kepada masyarakat dengan menyertai MPWS sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan selepas bersara.
Sejak 2009 hingga
kini, beliau merupakan Ahli Pemegang Amanah Yayasan PINTAR di Kuala
Lumpur dan Penasihat kepada Sekolah Klaster Cemerlang di Kementerian
Pelajaran selain menjadi Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh
Kristian Malaysia. - BERNAMA (15 Mei 2013)
Datuk Mary Yap Kain Ching