KOTA KINABALU: Teliti ketika memilih Universiti luar negara untuk meneruskan pengajian demi masa depan yang terjamin.
Demikianlah kata Pengerusi Lembaga Pentadbiran SM Tsung Tsin Sabah, Datuk Jimmy Yong Kyok Ming yeng menyeru para pelajar lepasan Sekolah Menengah Tsung Tsin ketika memilih institusi pengajian masing-masing.
Katanya, pelajar harus pilih universiti yang sewajarnya, selidik jenis bidang yang ditawarkan, kos kehidupan, kos pengajian dan biasiswa sekiranya ditawarkan.
“Pelajar perlu belajar trend pembangunan terkini dalam bidang yang ingin diceburi dan kaitkan bidang itu dengan peluang kerjaya di masa hadapan.
“Sememangnya tidak dinafikan lebih daripada 90 peratus lepasan pelajar dari sekolah ini akan meneruskan pengajian mereka di universiti tempatan dan luar negara dan tujuh daripada lepasan tahun ini sudah ditawarkan biasiswa,” katanya ketika pada pameran pendidikan institusi tinggi di SM Tsung Tsin kelmarin.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Presiden Dewan Perniagaan Bersatu Cina Sabah (SUCCC), Datuk Seri Panglima Gan Sau Wah.
Beliau berkata biasiswa yang ditawarkan itu datang dari institusi pengajian tempatan dan luar negara termasuklah tiga dari Kolej Sunway dan masing-masing dari Universiti Taylor, Help, Beijing serta biasiswa dari Yayasan Sabah.
Ujarnya, pameran kali ini menampakan 65 penyertaan daripada universiti tempatan dan luar negara termasuk Malaysia, Australia, New Zealand, United Kingdom, Ireland, Switzerland, Singapura dan banyak lagi.
“Saya yakin pameran yang diadakan ini akan menyediakan nasihat yang profesional terhadap program-program yang ada daripada universiti masing- masing.
“Pameran yang diadakan ini juga menyediakan maklumat terkini kepada pelajar dan ibubapa mereka mengenai pendidikan di masa hadapan,” ujarnya lagi.
Sumber: Borneoinsider.com