KOTA KINABALU: Satu Sistem Bus Rapid Transport (BRT) akan diwujudkan menerusi pembinaan tiga terminal bas di sekitar Bandaraya bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota.
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Abidin Madingkir berkata terminal itu akan diwujdukan di Kepayan, Penampang dan Inanam.
Katanya, pembinaan BRT itu adalah lebih efisyen berbanding cadangan dari pihak pembangkang yang mencadangkan supaya sebuah monorail dibina di Bandaraya.
“Jumlah populasi di Kota Kinabalu adalah tidak mencukupi untuk menyokong cadangan pembinaan monorail di sini dan pembinaan tiga terminal ini di bawah BRT ini dilihat lebih berkesan untuk mengurangkan kesesakan,” kata Abidin selepas menyempurnakan sesi Lawaan Tapak Bazaar Ramadhan di Lintasan Deasoka, di sini, kelmarin.
Katanya, pembinaan terminal baru di Kepayan dan Penampung termasuk menaik taraf terminal di Inanam akan bermula pada penghujung September ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
“Selepas siapnya ketiga-tiga terminal ini, semua bas atau mini bas tidak dibenarkan lagi untuk masuk ke bandaraya, mereka hanya dibenarkan untuk berhenti di terminal tersebut untuk menghantar dan mengambil penumpang.
“Manakala perkhidmatan bas dalam bandar (City Bus) akan mengangkut penumpang daripada ketiga-tiga terminal berkenaan masuk ke dalam Bandaraya,” katanya ketika pada lawatannya ke Bazar Ramadan di Lintasan Deasoka baru-baru ini.
Ujarnya, projek naiktaraf Terminal Wawasan yang dijangka siap pada September depan juga dijangka akan mampu mengurangkan kesesakan di Bandaraya ini.
Pada masa yang sama, Abidin berkata tujuan lawatan ke Bazar Ramadhan itu adalah memastikan kawasan tersebut termasuk makanan yang dijual benar-benar bersih.
Ujarnya, sebelum ini pegawai-pegawai kesihatan DBKK dan Jabatan Kementerian Kesihatan telah melawat gerai-gerai di situ ini untuk memastikan makanan yang dijual bersih dan selamat dimakan pengunjung.
“Pada tahun ini DBKK membuka lebih kurang 700 gerai termasuk 105 gerai di Lintasan Deasoka..
“Selain memastikan gerai-gerai di situ bersih, DBKK juga sentiasa memastikan restoran-restoran di sekitar Bandaraya bersih untuk keselamatan orang awam dan pengunjung,” ujarnya lagi.
Selain itu katanya, pasukan polis dari IbuPejabat Daerah (IPD) KK akan berada di sekitarbazaar bukan sahaja untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas malah untuk membanteras jenayah jalanan seperti ragut dan seluk saku di kawasan Bazaar.
Sementara itu, Abidin menjelaskan setakat ini belum ada peniaga yang dikenakan tindakan DBKK atas kesalahan menyediakan makanan yang tidak selamat dimakan.
“Sekiranya ada peniaga yang melanggar peraturan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dibawah Akta Makanan 1983,” tambahnya.
Sumber: Borneoinsider.com