TENOM: Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dinasihatkan bergiat aktif dalam aktiviti sekolah kerana kesepakatan antara ibubapa dan guru amat penting bagi menentukan hala tuju pelajar dan sekolah.
Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi berkata penglibatan para ibubapa melalui PIBG dalam pelbagai program pendidikan bersama-sama dengan guru-guru secara tidak langsung akan menyemarakkan semangat para murid.
“Murid akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam pendidikan.
“Mesyuarat yang diadakan diantara guru-guru dan para ibubapa amat penting kerana selain dapat bertemu dan berbincang mengenai pencapaian pelajar, ibubapa dan guru juga dapat mencari jalan penyelesaian terbaik sebarang masalah berkaitan pelajar dan sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Entabuan kali ke-8 dan Sambutan KOPKAWAN di Dewan Cemerlang SMK.Entabuan baru baru ini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengetua SMK.Entabuan, Sunthararajoo A/L Rengasamy.
Yang Dipertua PIBG SMK.Entabuan, Steven Jimin, Penolong Kanan 1, Azlan Dimon, Penolong Kanan HEM, Mohd.Ridhuan Yusof, Penolong Kanan Kokum, Zainal Manaf, guru-guru dan para ibubapa.
Raime amat berbangga dengan pencapaian sekolah kerana walaupun kewujudan SMK.Entabuan masih boleh dianggap baru, pencapaian para pelajar di sekolah ini menunjukkan peningkatan setiap tahun sejak kebelakangan ini.
Ujarnya, ia dapat dilihat melalui pencapaian sekolah yang membanggakan dalam peperiksaan PMR dan SPM yang mana SMK.Entabuan telah mendapat anugerah sekolah cemerlang peringkat daerah Tenom pada tahun lepas.
“Sesungguhnya, pencapaian para pelajar di sekolah ini adalah disebabkan kerjasama di antara ibubapa dan guru-guru yang memberikan komitmen penuh dalam memastikan para pelajar di sekolah ini mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum,”ujarnya lagi.