PAPAR: Mengharapkan kerajaan dan para guru semata-mata untuk menjana kecemerlangan pendidikan tidak akan berhasil tanpa sokongan dan penglibatan secara aktif masyarakat khususnya para ibu bapa.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ibu bapa harus mengambil berat pencapaian akademik termasuklah memberikan sokongan padu terhadap semua program yang dianjurkan oleh sekolah mahupun yang dikelolakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Ini kerana katanya, semua aktiviti yang diadakan oleh pihak sekolah dan PIBG bertujuan untuk meningkatkan pencapaian pelajar sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
“Inilah berkat dan hasil jika setiap anggota masyarakat khususnya yang terlibat dalam bidang pendidikan terus berganding bahu dalam memastikan kecemerlangan anak-anak kita di sekolah.
“Meskipun kita mengakui bahawa disebabkan kesibukan tugas dan komitmen dalam pekerjaan dan sebagainya, terdapat ibu bapa yang kurang melibatkan diri dalam aktiviti PIBG mahupun program di sekolah,” katanya pada majlis anugerah Pelajar Sekolah Agama Negeri Pengalat Kecil disini baru-baru ini.
Rosnah percaya, bahawa selain dedikasi dan komitmen tinggi para guru dan ketekunan para pelajar, sokongan dan penglibatan para ibu bapa khususnya menerusi PIBG ini juga amat penting.
Ini kerana, ia menjadi platform terbaik untuk menyumbangkan idea mahupun tenaga bagi meningkatkan lagi kecemerlangan anak-anak dan imej sekolah pada keseluruhannya.
“Suka saya menasihatkan anak-anak sekalian supaya terus berusaha meningkatkan keupayaan diri dan bersaing secara sihat bagi mencipta kejayaan. Nilai-nilai ini menjadi teras budaya kecemerlangan yang mesti dijadikan dorongan utama lonjakan prestasi sekolah.
“Di samping itu, jadikanlah sekolah kita sebagai medan untuk memperkukuh perpaduan. Hayatilah semangat 1Malaysia dengan sepenuh hati dan amalkanlah sikap saling menghormati,” ujarnya.
Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar percaya dengan sikap yang baik itu, pelajar akan berjaya memupuk semangat perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, khususnya generasi pelajar sebagai pemimpin masa depan.
Tambahnya, menjadi harapan kerajaan, ibu bapa dan keluarga serta rakyat kepada anak-anak sekalian untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran.
Justeru, berusahalah dengan gigih, hormatilah para guru dan ibu bapa, peliharalah disiplin dan sahsiah diri. Gigih berusaha dan tingkatkan iltizam, semoga berjaya mencapai impian dengan cemerlang, katanya.