Khoo Kay Kim
KUALA LUMPUR - Ramai pelajar kurang berpengetahuan mengenai sejarah negara walaupun berupaya mencatat gred 'A' dalam peperiksaan, kata sejarawan negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
Tokoh akademik terkenal itu berkata ramai daripada mereka bukan saja tidak dapat menghargai sejarah tetapi juga gagal mempelajari sejarah negara yang sebenarnya begitu menarik.
"(sebagai contoh) Saya tanya siapakah Tun Tan Cheng Lock, mereka hanya tersenyum dan tidak tahu jawapannya. Malah sesetengah daripada mereka tidak tahu sejarah sekolah sendiri pun. Ini amat menyedihkan.
"Jika anda tahu sejarah, anda akan terkejut dengan bagaimana negara ini boleh terbentuk," katanya pada pembentangan di 'Second Education Nation Conference', di sini hari ini.
Khoo juga berasa kesal kerana sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan sekarang telah menukar kaedah pembelajaran, menyebabkan ramai yang belajar dengan cara menghafal, bukan menerusi pemahaman.
"Pada masa dulu, untuk mendapat 70 markah pun susah, tetapi sekarang mereka boleh dapat 90 ke atas.
"Ramai pelajar sekolah sekadar menghafal esei kerana mereka boleh agak topik apa yang akan keluar dalam peperiksaan," katanya.
Katanya guru harus menilai semula peranan mereka dan menjadi tenaga pengajar yang lebih efektif yang dapat bekerja dengan pelajar untuk membangunkan minda bukan sekadar membantu mereka mendapat keputusan 'A' dalam peperiksaan.
"Saya harap sistem pendidikan kita dapat membantu orang muda mengetahui dengan lebih mendalam mengenai negara, mencintai negara ini, sekali gus melakukan lebih banyak kebaikan untuk negara," katanya.
Persidangan dua hari itu dianjurkan Asian World Summit dan bertujuan mengumpul pandangan akan bagaimana institusi pendidikan tinggi dapat menyumbang ke arah mewujudkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi menjelang 2020, selain memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan lulusannya mempunyai tahap boleh upah lebih tinggi.
Persidangan disertai kira-kira 100 pengamal industri. - BERNAMA