KOTA KINABALU - Pelajar Sekolah Integriti perlu diberi peluang untuk menyertai sebarang pertandingan yang berbentuk inovasi bagi menggilap bakat mereka. Pengarah Pendidikan Sabah Jame Alip berkata para pelajar ini perlu diberi peluang dan ruang untuk membuktikan kemahiran dan bakat mereka kepada masyarakat luar walaupun pengambilan mereka berbeza dengan pelajar arus perdana. "Mereka mempunyai potensi dan bakat bukan saja dalam bidang akademik tetapi juga dalam ko-kurikulum meskipun mereka tidak sebebas pelajar arus perdana," katanya pada sidang media sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang di Sekolah Integriti Penjara Pusat di sini hari ini. Menurut Jame, seramai 19 orang guru kini berkhidmat di sekolah integriti di Sabah dan jabatan pendidikan negeri akan sentiasa memberi bantuan dan sokongan terutama dari segi tenaga pengajar. "Saya menaruh harapan kepada guru-guru yang ada di sini agar mengenal pasti pelajar yang mempunyai potensi untuk digilap dan diberi peluang," katanya.Di samping akademik, para pelajar di sekolah ini juga diajar dengan kemahiran di bawah Skim Latihan Dual National (SLDN) dengan kerjasama Jabatan Penjara dan Kementerian Sumber Manusia, katanya. "Jabatan Pendidikan pula memberi bantuan buku teks dan mereka juga layak untuk menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100 sama seperti pelajar arus perdana,"katanya. Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Penjara Sabah Basir Mohamad, anugerah itu julung kali diadakan dan ia akan diteruskan pada tahun depan dengan menjemput ibu bapa pelajar yang cemerlang hadir sama. - BERNAMA
Title : Beri ruang pelajar Sekolah Integriti bukti bakat
Description : KOTA KINABALU - Pelajar Sekolah Integriti perlu diberi peluang untuk menyertai sebarang pertandingan yang berbentuk inovasi bagi menggilap b...
Rating : 5