Internet boleh jadi jerat
KUALA LUMPUR - Jika salah guna buruk padahnya!
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana pengguna internet di Malaysia yang menyalahgunakan kemudahan itu.
"Kita harapkan supaya pengguna lebih bijak dalam menggunakan internet.
"...kerana kita melalui kementerian ini dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat segelintir golongan yang tidak bijak dan salah menggunakan kemudahan yang diberikan," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas Majlis Taklimat kepada ahli-ahli Ðewan Rakyat Parlimen ke-13, semalam.
Selasa lalu, seorang wanita ditahan kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.
Keadaan menjadi lebih dahsyat apabila pengguna internet berani menggunakan laman sosial untuk menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Penggunaan internet boleh menulis apa sahaja di laman sosial masing-masing tanpa sebarang sekatan, sama ada dalam menyampaikan maklumat palsu, fitnah, penghinaan dan sebagainya.
Masalah ini yang dilihat kian meruncing, yang turut berlaku di negara jiran seperti Singapura mendorong negara itu mengambil langkah drastik dengan menguatkuasakan peraturan yang mewajibkan pemilik media sosial termasuk laman web berita di negara itu mempunyai lesen.
Mengulas mengenai perkara itu, Jailani berkata kajian berterusan akan dijalankan dan kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil pandangan yang baik untuk negara.
"Kita tak semestinya akan mengambil langkah seperti yang diambil Singapura secara automatik.
"Kita perlu melakukan satu kajian. Kajian berterusan akan diadakan sekiranya perkara ini berulang, kita mungkin tidak teragak-agaklah mengambil kira pandangan yang elok untuk negara kita," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kempen-kempen sihat yang dijalankan pihak kementerian dapat membendung isu penyalahgunaan berterusan.
"Kita harap dengan kempen-kempen yang diadakan, isu-isu yang berlaku sekarang ini dapat dikurangkan.
"Kita percaya dengan kempen yang berterusan, seharusnya ia boleh meredakan perkara-perkara yang telah ditimbulkan oleh segelintir masyarkat yang tidak bijak," katanya.
Tambahnya, "pengguna internet perlu berwaspada, apa yang ditaip di internet itu akan menjerat mereka sekiranya mereka tidak menggunakan secara berwawasan."
www.sinarharian.com