SANDAKAN, 28 Mac — Usaha memperkuat pertahanan negara di kawasan Timur Sabah ialah suatu keputusan wajar di pihak kerajaan untuk menjaga keselamatan rakyat dan tanah air daripada anasir yang cuba mencabul kedaulatan negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kerajaan menjadikan insiden di Lahad Datu, Sabah, sebagai pengajaran untuk melaksanakan tindakan yang tepat melindungi rakyat daripada sebarang ancaman.
“Kita boleh menggunakan ia sebagai pengajaran supaya kita selalu dapat menyelamatkan rakyat di negara ini dan bagi memastikan negara akan terus stabil serta mampu membangun dengan pesat,” katanya dalam “Program Temu bual Bersama Radio Sandakan FM” yang bersiaran hari ini.
Temu bual secara rakaman melalui telefon itu disiarkan pada 9.30 pagi bertajuk “Malaysia Negara Cemerlang Menjelang 2020”. Dr Mahathir berkata negara dapat menangani cabaran melalui insiden itu kerana mempunyai pasukan keselamatan yang berpengalaman berhadapan dengan gerila.
Katanya pasukan keselamatan pernah berhadapan dengan gerila komunis dahulu dan menewaskan mereka walaupun dunia mengatakan gerila tidak dapat dikalahkan tetapi pasukan keselamatan dapat mengalahkan mereka.
Dr Mahathir berkata faktor dapat menawan hati dan pemikiran rakyat supaya memahami serta menyokong tindakan diambil oleh kerajaan menjadi antara penyumbang gerila komunis ditewaskan ketika itu.
Mengulas tindakan individu menggunakan media sosial mempertikaikan tindakan kerajaan dalam menangani insiden itu, beliau berkata rakyat kini semakin bijak dan terlatih serta dapat menguasai ilmu di peringkat pelajaran tinggi.
Justeru itu, katanya, pemikiran mereka lebih matang dan pihak kerajaan harus mengambil kira kematangan rakyat dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
“Kerajaan boleh menggunakan alatan seperti media sosial untuk berdialog dan berhubung dengan rakyat. Saya yakin pencapaian rakyat dari segi ilmu pengetahuan dan kecekapan serta profesionalisme boleh menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Namun demikian, Dr Mahathir berkata rakyat perlu diberi panduan supaya mereka tidak akan lupa hasrat untuk menjadi negara maju. — BERNAMA