KINABATANGAN: Operasi mencari seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di Sungai Segaliud, di sini, diperluaskan ke sepanjang empat kilometer kawasan sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Jamalludin, berkata operasi membabitkan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan menggunakan sebuah bot.
Katanya, pihaknya turut mendapat bantuan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, selain polis serta penduduk kampung.
“Operasi dimulakan pada jam 7 pagi tadi, namun setakat ini mangsa belum ditemui.
“Tumpuan kita adalah sepanjang empat kilometer kawasan sungai dengan kaedah pencarian di atas permukaan air,” katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.
Semalam, Nasrun Utik, 50, dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan di sungai berkenaan kira-kira jam 2.30 petang.
Bot dipercayai dinaiki mangsa ditemui penduduk tersadai di tengah sungai, manakala mangsa tiada, sebelum kejadian dilaporkan kepada pasukan bomba. – BH ONLINE