Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sekalung tahniah saya ucapkan atas kejayaan Pakatan Harapan mengambil
alih pentadbiran negara pada pilihan raya umum ke-14 baru-baru ini.
Ternyata kemenangan cemerlang dan luar jangka ini, memberi nafas baru
kepada imej negara yang kian tercalar di mata dunia akibat
tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab mengurus negara tercinta ini.
Sebagai peringatan awal kepada Pakatan Harapan dalam mengisi
kemenangan untuk tempoh lima tahun mendatang ini, saya menyeru agar
kabinet yang bakal dibentuk dapat memberi perhatian untuk meletakkan
amanah menjaga hal ehwal pendidikan negara kepada calon yang betul.
Ini berdasarkan pengalaman sebelum ini, Kementerian Pendidikan sering
mengalami kecelaruan dan perubahan yang bukan-bukan dalam menetapkan
dasar dan hala tujunya.
Warga pendidik yang bertanggungjawab melaksanakan dasar yang
ditetapkan kadang-kadang keliru dan mengadu di mana rasional dan turutan
keutamaan yang perlu diberi perhatian apabila bebanan demi bebanan
diletakkan di bahu guru-guru.
Sekian banyak dasar yang diperkenal gagal dijelaskan dengan baik di
peringkat bawah sehinggakan sebilangan besar warga pendidik terpaksa
mengambil langkah bersara awal kerana mengalami sindrom keletihan akibat
dasar-dasar ini meskipun mereka mempunyai kualiti sebagai seorang
pendidik yang cemerlang.
Sebagai satu contoh, Kementerian Pendidikan menetapkan sasaran agar
sekolah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam penggunaan
pembelajaran maya (VLE Frog) dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran
(PdP) mereka yang kini disebut Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPC).
Secara umumnya, inisiatif yang diperkenalkan ini adalah selari dengan
perkembangan dunia Teknologi Maklumat (ICT) tetapi persediaan guru dan
keperluan kepada platform itu bukan sesuatu yang mendesak.
Tambahan pula sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peruntukan yang
semakin menguncup sedikit sebanyak membataskan usaha yang dibuat dalam
menjayakan dasar tersebut.
Para guru terpaksa berwayang bagi memenuhi kehendak atasan atas
pelaburan yang dibuat semata-mata ingin menunjukkan graf pencapaian
positif untuk dibentangkan.
Ini bertentangan dengan nilai sebenar dalam pendidikan iaitu berlaku jujur dalam setiap perkara.
Keutamaan yang diletakkan adalah untuk melihat data yang
menggembirakan berbanding memberi khidmat pendidikan yang berkualiti,
yang diperlukan di sekolah.
Untuk disenaraikan semua kegusaran warga guru dengan dasar-dasar
menyimpang itu, rasanya beratus helai kertas pun belum tentu habis
dicatatkan.
Reformasi sekolah
Maka tugas itu kami harapkan menteri yang bakal dilantik nanti segera
semak dan perhalusi agar sekolah juga dapat direformasikan bukan hanya
pada fizikalnya tetapi juga pada pengisiannya.
Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kerajaan yang baru ini
memandang ke hadapan untuk memperbetulkan kepincangan yang berlaku dalam
sistem pendidikan negara.
Lihatlah betapa ramai masyarakat kita pada hari ini lebih percaya
kepada sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa untuk memastikan
pendidikan anak mereka sempurna.
Terpaksa mereka sebahagiannya mencari wang lebih untuk menampung yuran belajar kerana mahukan pendidikan anak mereka terjaga.
Tahap kepercayaan kepada sistem pendidikan negara kian terhakis dan ini perlu dibina semula.
Sempena sambutan Hari Guru yang akan disambut esok, para guru
seluruhnya pasti ternanti-nanti reformasi dalam pendidikan yang menjadi
tunjang perjuangan Pakatan Harapan selama ini.
Kami sudah letih dengan laungan slogan retorik setiap tahun dalam himpunan-himpunan besar guru-guru.
Kami sudah serik dengan kerahan kerja yang tidak membantu ke arah pembinaan negara bangsa.
Kami juga sudah jelik dengan janji-janji penyedap telinga untuk
meningkatkan itu dan ini dalam acara-acara bersama pemimpin negara.
Kami perlukan satu nakhoda yang mempunyai keazaman dan kebijaksanaan
dalam mengurus hal ehwal pendidikan tanpa ada sebarang campur tangan
orang-orang politik berkepentingan.
Biarlah dasar yang diperkenal digubal cermat oleh mereka yang
kompeten dan berpengalaman. Bukan dari orang-orang luar atau di kalangan
usahawan.
Mereka ini hanya fikir di mana boleh ditukar cadangan dasar menjadi
wang. Berbilion wang rakyat dibelanja tapi impak tidak terkesan.
Semoga usaha pembinaan Malaysia Baru yang dibawa Pakatan Harapan dapat diterjemah dalam bentuk tindakan.
Buat masa ini kami beri sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada usaha tersebut.
Tetapi ingat, andai janji dan harapan kami tidak diberi perhatian, lima
tahun ke depan kami tidak teragak-agak untuk humban Pakatan Harapan.
Maaf andai ada keterlanjuran bahasa.
Selamat Hari Guru.
MOHD AZHAR BIN ABD RAHMAN seorang guru biasa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.