Rutin harian murid SK Kampung Biak, Dabong, Kelantan menaiki sampan merentasi Sungai Pergau untuk ke sekolah.
Pengerusi Lembaga kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman menetapkan sasaran setiap buah rumah ada anak yang ke universiti.
Beliau menegaskan, perkara itu tidak mustahil kerana infrastruktur pendidikan di kawasan itu sedang mengalami penambahbaikan yang pesat serta beberapa program yang sedang diatur.
"Kalau nak maju, perlu mula dengan langkah pertama," katanya ketika berucap di hadapan 204 peserta Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelolaan Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia di Dabong, Kelantan, baru-baru ini.
Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin berkata, program anjuran SMP yang dibantu sepenuhnya oleh Unit Pendidikan Utusan Malaysia itu disasarkan kepada pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
"Kerjasama ini merupakan usaha yang bermatlamat mempertingkatkan pencapaian akademik para pelajar sederhana namun berpotensi untuk cemerlang dalam peperiksaan terutamanya pelajar kurang berkemampuan dari kawasan luar bandar di sekolah-sekolah terpilih dari seluruh negara," katanya.
Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong, Noor Azman Awang berkata, program itu adalah pertama kali dianjurkan oleh pihak luar di sekolah berkenaan.
"Program motivasi ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta kerana selain dapat menimba ilmu baharu, hubungan yang erat dengan murid sekolah lain turut terjalin.
"Kelainan dalam program ini ialah pihak SMP bukan sahaja membawa guru pakar tetapi turut membawa pakar motivasi untuk memberi pendedahan kepada murid agar mereka dapat melihat hala tuju kehidupan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis penutup program itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130617/pe_02/Setiap-rumah-ada-wakil-ke-universiti#ixzz2YSh4Bxx9