KOTA KINABALU: Saksi Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram di Sabah hari ini dikejutkan dengan kenyataan saksi dari etnik Sulu yang menggunakan nama “No Name” dalam sijil lahirnya selama hampir 40 tahun.
Mahat Haji Ismail, 65, berkata sijil lahirnya dikeluarkan pada 1948 dan bapanya tidak sempat untuk menguruskan pertukaran nama disebabkan kesibukan tugas di Hospital Tawau.
“Bapa kerja di hospital … sibuk tak sempat mahu uruskan, jadi surat beranak keluar nama ‘No Name’,”katanya kepada panel inkuiri di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini.
Beliau menjelaskan, penukaran namanya hanya dibuat pada tahun 80an, dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kemudiannya membuat penukaran melalui satu cop pengesahan di belakang surat beranak beliau menggunakan namanya sekarang.
Ahli perniagaan itu berkata, kes sepertinya juga bukan kes terpencil kerana terdapat banyak individu yang mempunyai nama “No Name”.
Kenyataan itu turut disokong oleh panel inkuiri, Tan Sri Herman Luping yang turut mempunyai kenalan daripada ahli politik yang mempunyai sijil kelahiran dengan nama “No Name”.
“Masalah ini bukan perkara luar biasa, ia juga tidak hanya kepada masyarakat Sulu, tetapi juga terjadi kepada suku kaum Kadazan.
“Saya kenal seorang pemimpin politik yang menukar namanya daripada ‘No Name’, dan juga seorang wanita yang menggunakan nama ‘No Name’ sepanjang hayatnya,” kata Herman.
Pegawai penyiasat inkuiri, Jamil Aripin kemudiannya membangkitkan kesukaran yang mungkin dihadapi individu seperti Mahat sekiranya kerajaan memutuskan untuk menarik balik kad pengenalan warga Sabah bagi mengenalpasti warga asing yang memperolehi kad pengenalan secara tidak sah ekoran perbezaan nama dalam sijil lahir, dan ada antara mereka yang tidak mempunyai sijil lahir.
Sebelum Mahat, saksi ke-169, Ismail Johari, 75, yang juga berketurunan Sulu turut tidak mempunyai sijil lahir kerana kelahirannya tidak didaftarkan.
Ismail lahir sebelum Sabah menyertai Malaysia dan hanya mengetahui tarikh lahirnya ditandakan di atas bakul yang digunakan ibunya untuk ke pasar.
“Ayah kata itu tarikh lahir saya … Saya tiada daftar kelahiran,” katanya yang juga berasal dari Tawau.
Sebelum ini terdapat beberapa badan bukan kerajaan dan pemimpin politik yang mempertikaikan nama “No Name” dalam daftar pemilih, dan mendakwa pengundi dengan nama berkenaan adalah pengundi hantu.
Isu “Projek IC” yang didapati bermula lewat tahun 1970an juga telah mencetuskan kemarahan banyak pihak apabila pendatang asing dari Filipina, Indonesia dan Pakistan telah diberikan kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya umum.
RCI juga mendedahkan beberapa saksi yang mengakui menerima kad pengenalan yang sah melalui cara yang salah, termasuk mengesan kad pengenalan palsu.
Ismail yang merupakan generasi ketiga keluarganya di Sabah mengakui kepada panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bahawa sekiranya kad pengenalan tidak dikeluarkan kepada warga asing parti politik pembangkang akan menang di Sabah.
“Pemimpin-pemimpin (politik) ini kadang-kadang susah juga. Kalau tak pakai orang asing kita kalah, pembangkang menang,” katanya lagi.
Sementara itu saksi terakhir untuk sesi inkuiri kali ini, Juak Borneo, 61, yang dilahirkan di Semporna turut tidak mempunyai sijil lahir ekoran dilahirkan di atas bot.
Ketua Kampung Bangau-Bangau dari etnik Bajau Laut itu turut mengakui masih ramai masyarakat Bajau Laut yang tidak memiliki dokumen kewarganegaraan ekoran akses yang terhad ekoran mereka menghabiskan hayat di laut.
“Saya dilahirkan di atas perahu, sebelum ini tidak ada pengenalan diri … hanya apabila JPN datang menaiki bot ke kampung kami baru kami mendaftar warganegara,” katanya kepada panel inkuiri, dan menambah perkara itu dilakukan sekitar tahun 1960an.
Beliau turut berkata, ekoran kesukaran itu, ramai anak-anak Bajau Laut tidak dapat bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Kami hidup pindah-randah di laut, ikut arah angin dan ombak, kadang-kadang angin tolak pergi pulau sini, buat pondok, nanti angin tolak pergi pulau lain,” katanya.
Daripada sekitar lebih 5,000 penduduk Bajau Laut di kampung berkenaan, Juak menganggarkan hanya sekitar 3,000 etniknya yang memiliki kad pengenalan merah.
“Kalau kami pergi ke tanah beli barangan keperluan kami akan ditahan dan anak dan isteri akan menangis seolah-olah berlaku kematian,” katanya menjelaskan, bagi masyarakat Bajau Laut, ditangkap pihak berkuasa adalah mimpi ngeri buat mereka.
“Antara kami yang tidak memiliki dokumen itu merasakan kami warganegara, tetapi sebenarnya kami tidak memiliki sebarang pengenalan diri,” tambahnya.
Justeru beliau turut mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan tindakan yang sewajarnya diambil kerajaan bagi membolehkan etnik Bajau Laut ini diberikan kerakyatan.
“Mengenai suku kaum Bajau saya amat bimbang … saya selaku ketua kampung yang dhaif, risau kalau generasi (Bajau Laut) akan datang tak boleh buat apa-apa (tanpa kad pengenalan),” katanya.
“Kerajaan perlu keluarkan (dokumen) walaupun berbentuk sepucuk surat sahaja, (mereka) wajar diberikan penentuan pengenalan diri supaya mereka boleh bergerak seiring dengan kehidupan org lain.”
Inkuiri berhubung siasatan pendatang asing di Sabah akan bersambung 15 Julai depan. – The Malaysian Insider