KOTA KINABALU 10 Mac - Pada masa ini, nama 'Jamalul Kiram' adalah yang paling dibenci oleh setiap penduduk negara ini terutama di Sabah kerana tindakannya mengarahkan pengikutnya menceroboh dan membunuh pasukan keselamatan di Lahad Datu dan Semporna.
Kerana berkongsi nama sama, seorang rakyat Sabah, Jamalul Kiram Datuk Mohd. Zakaria (gambar) menerima pelbagai ugutan dalam laman sosial termasuk Facebook dan blog, menggesa supaya beliau dan keluarganya dimusnahkan.
Lebih teruk lagi apabila status dalam Facebook dan blog itu yang turut memuatkan gambar rumah dan calet peranginan perniagaan keluarganya di Kundasang, Ranau dekat sini, turut dikongsi dan disebarkan oleh orang ramai yang melayari laman berkenaan.
Jamalul Kiram, 56, bekas pengurus besar wilayah Sabah dan Sarawak di sebuah bank menafikan sekeras-kerasnya fitnah dan tohmahan yang disebarkan itu sambil menegaskan bahawa beliau adalah warganegara
Malaysia yang taat dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Yang Dipertua Negeri Sabah, Perlembagaan Persekutuan, negeri serta negara ini.
"Memang saya mempunyai nama sama tetapi ingin ditegaskan bahawa saya atau keluarga pada setiap masa langsung tidak mempunyai kaitan atau hubungan dengan 'sultan' itu atau membantu pengikutnya membuat onar di negeri ini.
"Demi menjaga keselamatan keluarga, saya terpaksa membuat laporan di Balai Polis Karamunsing di sini semalam dan menyerahkan kepada pihak keselamatan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang membuat fitnah itu terutama pemilik Facebook, 1 Suara Sabah yang dipercayai memulakannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Jamalul Kiram, status dalam Facebook itu yang dimuat naik kira-kira pukul 11.45 pagi dan dipadamkan kira-kira pukul 2.30 petang semalam itu telah menerima lebih 500 komen dan 1,000 'like'.
"Antara komennya ialah 'p kasi bom itu rumah', 'keluarga Kiram harus dihapuskan sehingga bersih'.
"Saya juga ada menerima panggilan yang diperoleh melalui nombor telefon yang dipaparkan dalam laman web calet kami, termasuk ramai juga yang membatalkan tempahan kerana dipercayai enggan bersubahat dan bimbang berhadapan dengan bahaya sekiranya menginap di situ," katanya.
Beliau yang dilahirkan di Kota Belud dekat sini mengaku mempunyai darah Suluk yang diwarisi daripada datuknya yang juga dilahirkan di Kota Belud kira-kira 1900-an lalu dan pernah bertugas sebagai anggota polis
British dan Ketua Anak Negeri semasa Malaysia belum mendapat kemerdekaan.
Katanya, bapanya, Mohd. Zakaria Mahol, 89, sebelum ini merupakan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan telah berkahwin dengan ibunya, Aisah Teo Abdullah.
Sumber: Utusan Online