KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun menyambut baik kerjasama berterusan antara Yayasan Sabah dan NEPCon untuk mengurus Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau (MBCA) untuk tempoh 10 tahun akan datang.
“Kerjasama antara dua negara seperti ini amat dialu-alukan, terutama antara negara kaya dan maju dengan negara membangun seperti Malaysia.
“Kerjasama antara kami untuk memulihara hutan hujan dan alam semula jadi ini adalah untuk kepentingan dunia,” katanya.
Masidi berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Yayasan Sabah dan NEPCon, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dari Denmark, berhubung semakan semula Pelan Pengurusan MBCA 2014-2023 di sini.
Katanya NEPCon memikul tanggungjawab melalui kerjasamanya dengan Sabah untuk menyediakan Pelan Pengurusan MBCA untuk tempoh 10 tahun lepas bagi pihak kerajaan Denmark.
“Kali ini, mereka mengambil inisiatif sendiri untuk membantu Yayasan Sabah mengumpul dana bagi menyemak semula pelan pengurusan strategik MBCA, yang berakhir pada 2012.
“Saya berharap lebih ramai penduduk negara Scandinavia akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam projek strategik kerana ia bukan sahaja boleh mempengaruhi negara, tetapi juga masyarakat global,” katanya.
Bantuan NEPCon dipohon apabila Pelan Pengurusan Strategik MBCA 2003 berakhir pada 2012 dan badan itu kemudiannya memperoleh dana berjumlah Euro294,875 (kira-kira RM1,179,500) daripada Aage V. Jansen Foundation, Denmark, untuk tujuan tersebut.
Masidi juga mengucapkan terima kasih kepada IKEA, sebuah pertubuhan Sweden yang terlibat dengan projek alam sekitar, kerana menjadi antara penaja utama program pemuliharaan Yayasan Sabah di MBCA, termasuk penanaman semula dan pemulihan hutan, yang dilaksanakan melalui IKEA pada 1998.
“Walaupun tidak mempunyai kedai di Sabah, IKEA hadir di negeri ini sejak 10 tahun lepas, bukan saja untuk memulihara kawasan yang belum diusik, tetapi juga untuk memulihkan hutan.
“Malaysia secara umum, dan Sabah secara khusus, menghargai sumbangan penting yang dihulurkan negara Scandinavia, Denmark dan Sweden, kepada Sabah,” kata Masidi.