Shah Alam: Penduduk Shah Alam meminta kerajaan mengambil langkah segera mengawal kenaikan mendadak harga barang kerana ada peniaga cuba mengambil untung segera ketika umat Islam bersiap menghadapi Ramadan.
Tinjauan BH di Pasar Seksyen 6 mendapati harga ayam proses dijual sehingga RM8.50 sekilogram, manakala produk hasil laut turut mencatat peningkatan, antaranya undang saiz sederhana yang naik daripada RM9.50 sekilogram kepada RM12.
Norasyirin Abu Bakar, 40, berkata beliau terkejut dengan peningkatan harga yang mendadak itu sewaktu ke pasar untuk membuat persiapan bagi menyediakan hidangan bersahur dan berbuka.
“Meskipun harga naik, kami tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa beli. Kenaikan harga barangan ini amat membebankan terutama golongan berpendapatan rendah seperti saya.
“Saya harap kerajaan dapat segera bertindak mengatasi masalah ini,” katanya.
Wan Nor Asiah Wan Salleh, 56, berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan pemantauan secara menyeluruh.
“Kerajaan bukan saja perlu menetapkan harga siling, tetapi perlu memastikan penguatkuasaan yang menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pasar Seksyen 6, Ismail Khan, berkata peniaga terpaksa menjual barangan pada harga lebih tinggi disebabkan pemborong menaikkan harga barang.
"Pengguna tidak sepatutnya menyalahkan peniaga seratus peratus dalam hal ini kerana kami juga terkena tempiasnya apabila keuntungan yang diperoleh sangat sedikit.
"Kami terpaksa menaikkan harga barang, jika tidak kami tidak akan mendapat pulangan. Kami berharap pihak KPDNKK menyiasat perkara ini supaya kekeliruan seperti ini dapat diselesaikan," katanya.
Sumber: beritaharian