Kes pencerobohan di Lahad Datu – seorang lagi dituduh
TAWAU: Seorang lagi hari ini didakwa di Mahkamah Tinggi atas tuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas berkaitan dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada Februari lalu.
Habil Suhaili mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan kesalahan itu dari 9 Feb 2013 hingga 4 Mac 2013 di Jalan Kastam Lama di Lahad Datu dalam daerah Lahad Datu.
Habil menjadi orang yang ke-30 didakwa di mahkamah atas pelbagai pertuduhan berhubung insiden di Lahad Datu itu.
Habil yang diwakili kumpulan peguam yang diketuai James Tsai, didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail(gambar) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi P.Ravinthran yang bersidang di Penjara Tawau di sini hari ini.
Ketika ditemui wakil media di luar penjara, Abdul Gani berkata mahkamah bersetuju supaya kes Habil dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan dibicarakan bersama dengan kes-kes lain di sana.
Katanya mahkamah menetapkan 15 Julai (Isnin) untuk pengurusan kes berkenaan.
Pada 27 Jun lalu, 29 individu yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan kesemua mereka akan dibicarakan serentak.
Sementara itu James Tsai berkata kumpulan peguamnya yang dilantik kerajaan Filipina setakat ini mewakili 22 tertuduh.
Sumber: borneoinsider.com