Seri Azlina Mohamed Sani
MELUKIS adalah kerja peringkat awal dalam menghasilkan karya atau imej yang lebih kompleks dan berseni. Bentuk atau imej tersebut dihasilkan menggunakan media kering seperti pen, pensel dan pastel serta mengehadkan penggunaan warna.
Bagi orang lain yang tidak cenderung ke arah seni, mungkin lukisan menggunakan arang kedengaran pelik dan unik bagi mereka namun hakikatnya, arang adalah asas dan media tertua dalam pendidikan seni visual.
Seri atau nama penuhnya Seri Azlina Mohamed Sani, guru muda berusia 28 tahun sering menggunakan teknik arang dalam pengajaran dan pembelajaran kendaliannya.
Teknik ini bukan sahaja lebih pantas dan boleh dilukis dalam kertas lukisan yang luas malah mampu menimbulkan kesan warna gelap yang lebih terang dan maksimum.
“Teknik melukis arang ialah gosokan, lorekan dan teknik basah. Saya suka menggunakan arang kerana dapat menimbulkan kesan lembut, tepat dan tajam bersesuaian dengan kehendak pelukis,” katanya membuka bicara.
Menjadi guru pada suatu hari nanti tidak pernah terdetik sebagai impiannya, apatah lagi membayangkan untuk mendidik lebih 100 pelajar sekolah menengah dalam satu-satu masa.
“Walaupun saya tak simpan niat nak jadi cikgu tapi, masa kecil saya suka main cikgu-cikgu. Saya selalu berlagak menjadi guru kepada adik-beradik dan menconteng dinding rumah papan, kononnya papan hitam.
“Ketika di sekolah menengah saya ambil jurusan Sains Tulen. Walaupun belajar Sains Tulen saya sedar yang saya sebenarnya minat subjek Pendidikan Seni. Sebab tu saya ambil keputusan untuk masuk tingkatan enam dan ambil Pendidikan Seni sebagai subjek teras,” kata anak kelahiran Felda Jengka 8, Pahang ini.
Menurut Seri, aktiviti masa lapangnya ketika remaja adalah melukis dan menyertai pertandingan seperti melukis poster, menghias kad kreatif serta mereka dan mencipta barangan dari bahan terbuang.
Aktiviti itulah yang akhirnya mendorong Seri untuk terus mempertahankan minat seterusnya mengambil langkah memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan - Pendidikan Seni.
Tarik minat pelajar
Seri berkata, di universiti ternyata pembelajaran Seni Visual lebih meluas dan mendalam. Di sanalah dia mula mengenali golongan pensyarah hebat yang mempunyai latar belakang bidang seni yang mengagumkan.
“Saya mengenali Allahyarham Roskang Jailani, Profesor Hassan Ghazali, Dr Ahmad Suhaimi Mohd Noor dan Syed Osman Syed Yusoff. Justeru, peluang mencedok ilmu daripada pensyarah tersebut telah banyak menyumbangkan pengalaman dan pengetahuan berguna,” katanya mesra.
Menurut Seri, sebagai guru, dia perlu menyediakan Rancangan Pengajaran Tahunan di setiap awal tahun dan pengajaran dan pembelajaran seterusnya akan dibuat berdasarkan perancangan tahunan tersebut.
Bagaimanapun katanya, bahan, media, alat dan teknik pengajaran yang digunakan untuk kelas adalah bergantung kepada inisiatifnya sendiri. Dalam subjek Pendidikan Seni kendaliannya, Seri gemar mempelbagaikan teknik dan menggunakan banyak alat bantu mengajar untuk kesesuaian pelajarnya.
Selain arang, teknik mewarnai kasut, melukis, mewarnai dan mematikan batik serta menghasilkan folio turut diajar Seri.
“Sebagai guru saya perlu bersedia mental dan fizikal di samping bersikap terbuka. Apatah lagi pelajar saya adalah remaja yang berada di peringkat peralihan daripada kanak-kanak ke zaman remaja.
“Pendidikan Seni Visual kedengaran enteng, tapi ia memerlukan minat, kemahiran dan sedikit bakat daripada pelajar. Sekiranya pelajar tidak meminati bidang terbabit, saya perlu menukar cara dan memastikan corak pengajaran yang akan disampaikan menepati kehendak pelajar.”
Tambah Seri, apa yang dipraktikkannya dalam tugasan adalah memperbanyakkan contoh dan alat bantuan mengajar yang menarik seperti penggunaan video, memasang lagu ketika kelas dan melakukan kuiz. Ia perlu sebagai usaha dan langkah menimbulkan suasana pembelajaran berbeza bagi minda pelajarnya.
“Cara macam ni dapat merangsang minat pelajar. Saya masih ingat kata-kata yang saya baca satu masa dulu, iaitu bila seseorang pelajar tidak bisa belajar dari cara kita mengajarkan sesuatu, kitalah yang harus mengubah cara mengajar kita agar sesuai dengan cara belajar mereka” kata guru yang mengajar lapan kelas menengah ini.
“Cabaran lebih hebat yang terpaksa ditanggung guru muda ini adalah berjauhan daripada keluarga dan suami tercinta dek lokasi tempatnya mencurah ilmu dipisahkan Laut Cina Selatan.
“Saya balik ke Pahang bila ada cuti sekolah dan cuti panjang. Kalau tak, hanya rakan guru dan pelajar tempat saya menghilangkan rindu. Pengalaman ini tentunya tidak mudah saya dapat dengan hanya melalui pembacaan melainkan bila dah lalui sendiri,” katanya yang kini gembira mempelajari bahasa Iban di Bintulu, Sarawak.
Sumber: sinarharian.com