KOTA KINABALU: Pertumbuhan ekonomi negeri Sabah semakin berkembang, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan syarikat, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun (gambar).
Beliau berkata kebanyakan syarikat memperoleh keuntungan dalam perniagaan mereka, dan sempena bulan Ramadan ini, beberapa syarikat turut menyalurkan sumbangan kepada mereka yang tidak bernasib baik.
“Ini adalah petanda ekonomi kita semakin bertambah baik. Syarikat-syarikat ini menunjukkan keprihatinan mereka kepada golongan yang tidak bernasib baik.
“Ramadan adalah bulan yang cukup baik bagi syarikat ini melaksanakan tanggungjawab sosial mereka,” katanya kepada pemberita sempena majlis berbuka puasa bersama anak yatim dari Rumah Putera Harapan Ranau di 1Borneo, Likas, dekat sini malam tadi.
Masidi berkata seramai 23 orang anak yatim dibawa khas ke majlis itu hasil inisiatif bersama Hotel Novotel 1Borneo dan Syarikat Adabi serta Suria.fm sebagai penyiar rasmi.
“Ini adalah satu cerminan kepada tanggungjawab sosial kepada masyarakat, dan saya berharap ini akan menjadi contoh kepada syarikat lain serta menjadi acara tahunan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Pengurus Besar Hotel Novotel 1Borneo Jacques Leizerovici berkata majlis berbuka puasa tersebut diadakan khusus untuk anak-anak yatim Rumah Putera Harapan Ranau dan merupakan tahun kedua majlis seumpama diadakan.
Pada majlis itu, Masidi turut melancarkan produk terbaharu keluaran syarikat Adabi iaitu “Sambal Belacan” yang pasti mempelbagaikan produk berasakan makanan di Sabah.
Sementara itu, lima pemenang pertandingan Adabi bagi pendengar setia Suria.fm, penyiar rasmi produk Adabi, turut menerima hadiah yang disampaikan Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Novotel 1B Vivian Chu dan Pengurus Adabi Sabah Muhd Zahari Muhd Nasir.
Sumber: borneoinsider.com