KOTA KINABALU: Bekalan minyak diesel bersubsidi di Sabah kembali pulih seperti biasa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hassan Malek.
Hassan (gambar) berkata tinjauan di depot minyak Shell dan Petronas mendapati bekalan adalah mencukupi sepanjang musim perayaan ini.
“Hasil daripada penguatkuasaan yang dipertingkat telah membantu dalam menangani masalah bekalan minyak diesel bersubsidi ini, dan mereka yang ingkar mematuhi arahan yang telah dikeluarkan akan diambil tindakan,” katanya kepada pemberita semasa melawat stesen minyak Petronas di sini hari ini.
Hassan berkata setakat ini, sebanyak 12 kes dilaporkan di negeri ini yang membabitkan penyalahgunaan penjualan minyak diesel bersubsidi, dan mereka yang terlibat akan dikenakan penalti di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Bagi kesalahan berat, iaitu menjual kepada pihak industri dengan niat untuk mengaut keuntungan lebih, dan mempunyai bukti yang jelas, kementerian tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen perniagaan mereka yang terbabit,” katanya.
Hassan berkata lesen perniagaan yang dibatal tidak akan dipertimbang untuk kelulusan meskipun mereka menggunakan pihak ketiga bagi mendapatkan lessen perniagaan.
“Kementerian juga telah meluluskan sebanyak 54,755,321 liter minyak diesel bersubsidi untuk seluruh Malaysia, dan Sabah mendapat kira-kira sembilan juta liter bagi menampung permintaan penggunaan sempena musim perayaan ini.”
“Kuota ini hanyalah bersifat sementara pada musim perayaan ini, dan dalam jangka masa panjang, kementerian akan membuat kajian untuk menangani masalah ini di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad berkata pihaknya mencadangkan sebuah pusat pengumpulan minyak diwujud di setiap tempat strategik sebagai lokasi lori berlesen mendapatkan bekalan minyak.
Beliau berkata langkah ini bagi mengelak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan, dan setiap aktiviti lori berlesen dapat dipantau.
Selain itu, Jainab berkata pihaknya mencadangkan teknologi nano dalam penggunaan diesel.