Kuala Terengganu: Polis Terengganu menubuhkan satu unit khas bagi memantau kegiatan menerusi internet yang menyalahi undang-undang dan boleh mencetus suasana tidak selamat dalam negeri.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata pemantauan itu dilakukan bagi mengesan penulis blog individu atau persatuan, yang menyebarkan fitnah dan maklumat berbaur hasutan.
Katanya, terkini kegiatan Red Bean Army yang didakwa dibentuk bagi mencipta penipuan dan memanipulasi fakta bagi menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pantau kandungan blog
Kita akan memantau blog yang menyalahi undang-undang tidak kira Red Bean Army, individu atau persatuan. Jika kandungan blog berkenaan dilihat berbaur hasutan dan boleh mencetus kekacauan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka, katanya. selepas Seminar Hala Tuju Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), di sini, semalam.
Seramai 170 pegawai polis daripada seluruh Kontinjen Terengganu menyertai seminar berkenaan bertujuan memberi penerangan mengenai landskap politik negara selepas PRU-13 lalu.
Jamshah berkata, unit itu beroperasi 24 jam sehari bagi memantau perkembangan semasa sekali gus mengelakkan maklumat berbaur provokasi tersebar dan merebak dengan pantas.
Sehubungan itu, polis mengingatkan semua penulis blog supaya berhati-hati dan tidak menyebarkan maklumat berbaur hasutan kerana tindakan tegas menanti mereka.
Sumber: beritaharian.com