Baru-baru ini, pengeluar cip pemprosesan terbesar dunia, Intel Corporation (Intel) mengumumkan cip Intel Core generasi keempat berasaskan mikroarkitektur ‘Haswell’ yang menggunakan teknologi pembangunan 22 nanometer (nm) dan bakal dipasarkan tidak lama lagi kepada pengeluar komputer.
Menariknya, cip itu membawa kepada penghasilan baru komputer mudah alih dengan reka bentuk lebih nipis lagi menarik, ringan, sistem lebih selamat, operasi lebih pantas dengan kesepaduan grafik lebih bertenaga.
Di samping itu, ia dikategorikan sebagai pemproses yang kurang menggunakan tenaga untuk memacu pembangunan ultrabook hibrid yang lebih inovatif serta boleh diubah suai dengan prestasi yang dihasilkan mikroarkitektur Haswell.
Haswell diiktiraf antara cip mikroarkitektur terbaik yang pernah dikeluarkan Intel, namun kisah di sebalik pembangunannya jauh lebih menakjubkan.
HASWELL untuk peranti mudah alih.
Dalam satu fakta yang tidak didedahkan sebelum ini, Haswell dibangunkan pasukan jurutera dari Malaysia dengan operasi pembikinannya dilakukan sepenuhnya di kilang Intel Pulau Pinang sambil dibantu pihak eksekutif Amerika Syarikat.
Pengurus Besar Kumpulan Arkitektur Intel, Christopher Kelly berkata, syarikatnya berbesar hati mengiktiraf bakat tempatan dalam membangunkan cip yang akan dipasarkan di seluruh dunia.
“Sudah lama jasa Intel berada di Pulau Pinang dan kami dapat mengesan bakat jurutera yang ada di negara ini,” katanya.
Sejumlah 60 jurutera tempatan mengambil bahagian dalam pembangunan Haswell yang dibangunkan 100 peratus di Pulau Pinang.
Malaysia sudah diiktiraf sebagai sebuah negara pengeluar semikonduktor terkemuka di dunia. Malaysia juga diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang berjaya menjalankan aktiviti pemasangan dan ujian dalam bidang litar bersepadu di samping sebagai pengeluar alat elektronik pengguna.
Jumlah eksport produk elektrik dan elektronik serta kejenteraan sentiasa berkembang dengan peningkatan peratusan tinggi setiap tahun.
Bagaimanapun, berasaskan perkembangan pesat dalam bidang teknologi elektronik dan mikroelektronik di peringkat antarabangsa, perkembangan memberangsangkan yang sedang dinikmati Malaysia sekarang tidak akan dapat dipertahankan jika tiada usaha lebih bersungguh-sungguh untuk memperluas dan mempelbagaikan asas industri elektronik dan mikroelektronik sedia ada.
Tindakan yang paling strategik ialah dengan mewujudkan kitaran teknologi yang lengkap untuk menghasilkan komponen asas yang digunakan di dalam aktiviti itu.
Ia berbeza dengan kaedah bidang elektronik dan mikroelektronik negara yang distrukturkan oleh aktiviti pemasangan, pengujian dan aktiviti hiliran yang lain.
Industri pembuatan wafer misalnya bagi menghasilkan mikrocip akan memperkukuh dan memantapkan lagi sektor elektronik dan mikroelektronik negara, di samping mewujudkan peluang mempertingkatkan penguasaan teknologi tinggi dalam kalangan saintis dan jurutera tempatan.
Ini sekali gus membolehkan mereka meneroka peluang baru yang lebih berpotensi dan bernilai tambah serta membangunkan teknologi tempatan ke tahap yang lebih cemerlang dan setanding teknologi negara maju.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Produk & Harga Intel Asia Pasifik, Leighton Philips memaklumkan, pemprosesan generasi keempat secara tidak langsung menawarkan cip yang lebih nipis disasarkan kepada tablet atau laptop hibrid.
“Ia bakal menjimatkan bateri sebanyak 50 peratus iaitu satu pencapaian paling ulung yang pernah diraih Intel sejak syarikat itu mencipta cip pemproses di samping pemampatan grafik Intel Iris yang menampilkan tahap prestasi grafik berlainan daripada versi sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, dengan hanya menggunakan tenaga sebanyak enam watt, ia turut membolehkan pembaharuan menjadikan cip itu lebih nipis, ringan, sejuk dan paling menarik direka untuk binaan komputer peribadi (PC) tanpa kipas.
Cip yang diproses menggunakan teknologi 22nm itu mampu menawarkan tahap bateri minimum sembilan jam untuk penggunaan aktif atau 10 hingga 13 jam bagi kegunaan mod bersedia.
“Pada masa depan, tiada lagi kategori tablet atau laptop apabila pengguna sukar mengenal pasti produk yang diingini.
“Ini memandangkan tablet dan laptop semuanya bakal menjadi satu kategori sama apabila tablet mempunyai papan kekunci manakala skrin laptop pula boleh ditanggalkan,” katanya.
Philips berkata, pengeluar peranti mula menghasilkan produk dua dalam satu sebagai mesin masa depan perkomputeran kepada pengguna.
“Melalui kajian kami, kita akan menyaksikan 100 peratus laptop mula mesra sentuh dalam tempoh lima tahun dari 2012 hinggalah 2017 manakala harga produk sentuh menjadi murah dari semasa ke semasa,” kata Philips.
Dari aspek penggunaan tenaga pula, jika Intel menggunakan tenaga sehingga 95W bagi penggunaan grafik dan perkomputeran tinggi lain, namun kini ia berjaya dikurangkan hingga 6W saja iaitu pencapaian yang tidak dibayangkan sebelum ini.
“Di bawah generasi baru cip ini, kepantasan CPU 35 peratus lebih baik berbanding versi terdahulu.
“Cip pemprosesan Intel baru akan beroperasi di bawah platform Haswell dan akan dimulakan dengan tetapan cip dalam ultrabook,” katanya.
Kali terakhir Intel memasarkan cip pemprosesnya ialah dua tahun lalu.
Dalam pada itu, Pengurus Negara Intel Malaysia dan Singapura, Prakash Mallya berkata, daripada jumlah 3,000 jurutera syarikat itu di seluruh dunia, 30 peratus adalah rakyat Malaysia yang kebanyakannya bekerja di Pulau Pinang.
“Ia mengambil masa dan proses yang membabitkan kerjasama dengan syarikat induk di Amerika Syarikat,” katanya.
Haswell mencipta standard baru dari segi pengalaman perkomputeran mudah alih apabila platform pengurangan tenaganya adalah 20 kali lebih rendah berbanding pemproses generasi kedua yang diperkenalkan pada 2011.
Pengalaman baru yang dimaksudkan antara lain ialah penggunaan skrin peka sentuhan yang lebih berkesan, arahan bersuara, biometrik, keselamatan, arahan menggunakan pergerakan badan dan sebagainya.
Meskipun menggunakan tenaga lebih rendah, namun ia mampu memberi prestasi perkomputeran dan daya tindak balas jauh lebih tinggi, malah Intel turut merangka memperkenalkan lebih banyak barisan cip pemproses berasaskan mikroarkitektur sama serta lebih rendah menggunakan tenaga bermula tahun depan.
Intel menyasarkan tablet atau laptop hibrid sebagai peranti yang mampu bekerjasama dengan Haswell pada masa depan.
Cip sama turut membolehkan teknologi pengenalan suara dan sentuhan serta dipadankan dengan cip yang menjimatkan bateri.
Haswell mampu menawarkan cip yang sensitif kepada pergerakan serta dipadankan dengan ciri pengenalan suara seperti yang biasa ditemui sekarang pada telefon pintar.
Pada masa sama, cip termaju berkenaan akan membolehkan peranti tahan lebih lama tanpa perlu dicas semula, sekali gus menzahirkan komitmen Intel bahawa sifat mudah alih peranti adalah faktor utama dalam dunia perkomputeran peribadi.