KOTA KINABALU: Syarikat pelayaran utama Asia Pasifik, Star Cruises, akan memulakan penggunaan pangkalan Kota Kinabalu mulai 6 Nov ini hingga 30 Mac depan.
Naib Presidennya bagi operasi Sabah dan Sarawak, Edward Johann Leong berkata syarikat pelayaran itu akan menggunakan kapal SuperStar Aquarius untuk pangkalan berkenaan.
“Usaha menempatkan kapal pelayaran di sini adalah untuk menarik pelancong datang ke Sabah,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Leong berkata Star Cruises akan menawarkan pelayaran empat hari tiga malam dari Kota Kinabalu ke Bandar Seri Begawan dan Bintulu pada RM1,200.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun menyarankan agar syarikat pelayaran menampilkan produk, kraf tangan, persembahan kebudayaan dan persembahan video mengenai Sabah di kapal mereka.
Beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan pelbagai kaedah untuk mempromosikan Sabah kepada dunia.
Sumber: Borneo Insider (14/6/2013)