Turut memberi keterangan kepada panel RCI pada hari ini ialah pemimpin SAPP, Datuk Yong Teck Lee (kiri) dan Datuk Eric Majimbun
KOTA KINABALU: Seorang warga Filipina memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah bahawa beliau terpaksa menipu tempat kelahirannya bagi mendapatkan kad pengenalan (IC) Malaysia.
Shukur Abdullah, 53, berkata beliau terpaksa mengaku lahir di Kampung Karakit, Pulau Banggi kerana ingin menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggalnya yang tetap.
“Kampung kami (Cagayan, Filipina) tidak aman. Saya datang ke Malaysia mencari ketenangan dan mahu tinggal di sini untuk selama-lamanya,” katanya.
Shukur berkata beliau memasuki Sabah pada 1976 melalui Kudat di mana makciknya menetap.
Bagaimanapun, beliau membuat permohonan IC atas usahanya sendiri menerusi Unit Bergerak Khas Jabatan Pendaftaran Negara.
“Memandangkan saya tidak ada sijil lahir, saya menggunakan surat akuan yang disokong oleh Ketua Kampung untuk membuat permohonan IC,” katanya.
Shukur juga memaklumkan suruhanjaya berkenaan bahawa hidupnya lebih selesa selepas mendapat IC yang membolehkannya memohon lesen memandu serta passport Malaysia.
Beliau juga mengundi pada setiap pilihan raya yang diadakan.
Suruhanjaya yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk KY Mustapha dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Herman J Luping.
Sumber: borneoinsider.com