KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Akhir-akhir ini, Malaysia seperti beberapa negara lain berhadapan dengan pembabitan sebilangan anak muda yang antigolongan berkuasa dalam perhimpunan dan demonstrasi kononnya atas nama kebebasan bersuara dan melakukan pembaharuan. Apakah yang sebenarnya berlaku yang mendorong sebahagian generasi muda ini
bertindak sedemikian?
Mengupas persoalan itu, Pakar Perunding Psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata sebilangan anak muda yang dikategorikan dalam generasi Y ini cepat berasa diri mereka 'hebat'.
Sikap ini mudah mendorong mereka untuk melibatkan diri dalam demonstrasi jalanan atau melakukan provokasi menerusi laman sosial apabila terpengaruh dengan asakan budaya negatif ini.
"Mereka sebenarnya belum matang dalam membuat keputusan terutama ketika mereka berada dalam keadaan tertekan atau kecewa. Lebih membimbangkan ada yang cuba mencabar sistem perundangan negara dengan membuat kecoh, huru-hara dan ini menimbulkan tanggapan negatif terhadap generasi itu," katanya
kepada Bernama.
Ramai anak muda menghadiri beberapa perhimpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat baru-baru ini membawa nada serupa, menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, kononnya berlaku penyelewengan dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Apakah institusi keluarga kini semakin kurang memainkan peranan mendidik dan membentuk sahsiah anak muda?
Dr Muhammad Muhsin berkata banyak faktor lain termasuk media sosial yang boleh mempengaruhi corak pemikiran generasi muda terutama kepada mereka yang menjadikan media sosial sebagai sumber rujukan utama maklumat.
Meskipun ada ibu bapa yang bersikap tegas dalam mendidik anak-anak, namun sikap degil dan memberontak anak muda menyebabkan mereka tidak peduli dengan nasihat keluarga, katanya. Darah anak muda yang membuak-buak bersemangat untuk meluahkan rasa tidak puas hati, didorong dengan ajakan rakan-rakan menghadiri demonstrasi jalanan, menyumbang kepada punca anak muda melibatkan diri dalam perhimpunan sebegini.
Ibu tunggal Umi Kalthom Alwi, 49, kesal 'kelemahan' sebilangan generasi muda ini digunakan pihak tertentu untuk menjadikan mereka umpan bagi menimbulkan masalah dan mempengaruhi mereka untuk berpolitik serta membuat pelbagai tuduhan liar terhadap kerajaan.
"Kita sebagai ibu bapa boleh memberi kebebasan kepada anak-anak tetapi setiap ibu bapa juga perlu peka dan mengawasi tindak-tanduk anak-anak, di mana mereka berada dan apa yang mereka lakukan," kata ibu kepada enam orang anak yang berumur antara 15 hingga 29 tahun itu.
Seorang juruteknik Amri Azri Zulkiffly, 29, yang berkongsi pengalamannya menyertai
demonstrasi jalanan anjuran kumpulan proreformasi pada 2008 berkata perasaan ingin tahu dan terikut-ikut dengan ajakan rakan menyebabkan dia terlibat.
"Pada masa itu semua yang hadir memakai baju berwarna merah dan saya tidak berasa takut sebaliknya berasa seronok maklumlah ketika itu umur 23 tahun, tapi tidak semua yang datang itu benar-benar memperjuangkan hak mereka... sekadar suka-suka sahaja.
"Tidak semua yang kita buat itu betul tetapi darah anak muda sememangnya tidak pernah berasa puas... belajarlah bersyukur dengan nikmat yang ada," kata bapa muda kepada seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang kini sedar tindakannya itu tidak berfaedah, membuang masa dan memudaratkan negara.
Berpandangan bahawa generasi muda hari ini lebih bersikap memberontak dan sukar menerima teguran, seorang warga emas Khairanin Mohd Mansor, 76, berkata ramai anak muda tidak memahami dan menghayati sejarah negara.
"Jika mereka hidup di zaman komunis pasti mereka tahu betapa susahnya hidup dalam keadaan daif serta ketakutan. Anak-anak muda hari ini seharusnya bersyukur kerana mereka boleh tidur dengan tenang tanpa mendengar letupan bom dan bunyi tembakan atau melihat insan tidak berdosa dibunuh," katanya.
Khairanin, yang lebih mesra dengan panggilan Opah Ani, berkata mendidik generasi muda semakin mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi kerana dunia hari hari ini semakin kompleks dan nilai-nilai murni dalam hidup bermasyarakat beransur hilang jika institusi keluarga lemah.
Bagi seorang peniaga Ismail Yusoff, 55, tanggungjawab mendidik bukan hanya terletak kepada ibu bapa sahaja tetapi anak-anak muda sendiri yang terdedah dengan dunia teknologi maklumat perlu bijak membezakan antara yang baik dan buruk.
"Sebagai ibu bapa kita perlu jelaskan kepada mereka apa itu demonstrasi jalanan, akibat jika ditangkap melanggar undang-undang dan wajarkah mereka turut serta. Malangnya terdapat ibu bapa yang menyokong tindakan anak mereka atas dasar idealogi politik masing-masing," katanya.
Seorang penuntut universiti swasta berusia 23 tahun yang enggan dikenali berkata sifat ingin tahunya membawa kepada hasrat mahu melihat sendiri perhimpunan yang dianjurkan dan apa yang boleh diperolehnya.
"Saya tiada tujuan mahu melanggar undang-undang negara. Saya tahu wujud Akta Perhimpunan Aman. (Dengan berada di situ), saya dapat menilai perkara sebenar dan membuat keputusan," katanya sambil mengakui demonstrasi jalanan membawa kesan buruk kepada banyak pihak.
Seorang pekerja swasta Mohamad Hafiz Mohamed Nassir, 24, berkata generasi Y mesti bijak memilih saluran untuk menyuarakan pendapat mereka.
"Lihat sahaja perhimpunan Hari Belia yang diadakan baru-baru ini. Ia merupakan cara untuk kita berkongsi pendapat dan menyuarakan pandangan menerusi saluran betul bukannya melalui demonstrasi jalanan," katanya.
Mohamad Hafiz berkata biarpun hanya sebilangan individu yang membuat kecoh, namun tindakan mereka memberi imej buruk kepada generasi muda keseluruhannya, yang sebahagiannya akan mewarisi kepimpinan negara. -BERNAMA