KIULU: Para pemimpin masyarakat digesa melaporkan kepada pihak berkuasa jika didapati wujudnya orang asing tidak dikenali di kawasan kampung mereka masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, para pemimpin perlu menjadi mata dan telinga kerajaan terutamanya dalam membantu mengurangkan kebanjiran pendatang asing di negeri ini.
“Kita berharap para pemimpin sentiasa peka dan memantau kawasan masing masing, contohnya jika menyedari wujud orang yang tidak dikenali terutamanya yang bekerja di kebun-kebun getah, lebih-lebih lagi jika kehadiran mereka didalangi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, mereka harus melaporkannya kepada pihak polis dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Dialog ‘Program Cegah Jenayah’ (Cummunity Policing) bersama pemimpin masyarakat terdiri daripada Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Anak Negeri (KAN) dan para pengusaha pelancongan di pekan Kiulu, pada Selasa.
“Sungguhpun keadaan di Kiulu ini nampak aman tetapi adalah menjadi tanggungjawab semua kita di sini untuk memastikan keadaan seperti ini berterusan demi keselamatan para penduduk dan seterusnya memastikan Kiulu yang terkenal sebagai destinasi pelancongan agar sentiasa selamat dikunjungi.
Program yang diadakan di perkarangan kedai Pekan Kiulu berkenaan bertujuan untuk mengeratkan kerjasama di antara komuniti, masyarakat setempat dan pihak polis sendiri, dihadiri kira-kira 108 pemimpin masyarakat dari seluruh kawasan DUN Kiulu.
Joniston turut mengambil kesempatan itu untuk berterima kasih kepada pihak polis atas jasa mereka memastikan keselamatan negara terjamin dan seterusnya atas usaha mengadakan program tersebut.
Selain itu, beliau turut melahirkan harapan agar pihak keselamatan itu sentiasa menggandakan usaha membuat rondaan di daerah berkenaan dan dapat menambah anggota di Pondok Polis Kiulu kerana difahamkan sejak sekian lama hanya seorang anggota polis sahaja yang ditugaskan di situ.
Dalam sesi dialog yang dikendalikan sendiri oleh Ketua Polis Tuaran, DSP Abdul Fuad B. Abdul Malik, pelbagai soalan diajukan oleh peserta yang mana merangkumi pelbagai aspek keselamatan seperti masalah trafik, rogol, masalah berurusan dengan pihak polis dan permasalahan pemilikan senjata api di kawasan Kiulu.
Pada akhir dialog itu, Abdul Fuad meminta para pemimpin masyarakat dan penduduk Kiulu agar sentiasa rajin berhubung dengan pihak polis jika wujud permasalahan di tempat mereka masing-masing dan beliau berjanji akan cuba sedaya upaya untuk melayan segala masalah yang diutarakan.
Beliau turut mengalu-alukan kunjungan semua masyarakat untuk hadir ke mana-mana balai Polis di daerah Tuaran bagi untuk kesejahteraan bersama.