PENGUATKUASAAN undang-undang trafik dan saman nampaknya masih kurang berkesan dalam mendisiplinkan pemandu Malaysia. Angka kematian di jalan raya terus meningkat. Satu demi satu Ops Sikap dilaksanakan tetapi kadar kemalangan tidak pun menurun. Jadi sudah ada komentar yang mengkritik pelaksanaan Ops Sikap.
Malah, langkah mencegah kemalangan itu dianggap sebagai projek membuang masa dan membazir wang kerajaan semata-mata. Ungkapan kata-kata "kelajuan itu membunuh" ternyata tidak meresap ke dalam minda pemandu Malaysia.
Jika diteliti data kajian Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris, ketika 30 negara menunjukkan penurunan kadar kematian jalan raya dari tahun 2000 hingga 2009, hanya tiga negara merekodkan peningkatan. Paling menonjol di antara tiga negara itu ialah Malaysia yang menjadi tumpuan bersama Argentina dan Kemboja.
Daripada kajian melibatkan semua negara, Malaysia berada di kedudukan paling atas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk. Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia adalah 6.3 kali lebih tinggi berbanding dengan United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda. Ini bermakna bahawa 6.3 kematian di Malaysia bagi setiap satu nyawa penduduk UK pada tahun lalu.
Kemalangan jalan raya mengakibatkan ekonomi Malaysia kehilangan RM9 bilion tahun lalu dari segi kehilangan nyawa dan cedera. Tahun lalu berlaku 6,640 kemalangan jalan raya atau 18.2 kematian sehari, bermakna setiap 1 jam 20 minit seorang rakyat Malaysia terbunuh di jalan raya.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan, kelajuan di jalan awam telah terbukti secara saintifik sebagai faktor utama peningkatan ketara risiko maut dan cedera bukan sahaja kepada pemandu dan penumpang tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Kira-kira 60 hingga 70 peratus kemalangan berlaku akibat kelajuan.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), motosikal dan kereta masing-masing mencatatkan lebih 60 peratus dan 20 peratus kematian di jalan raya. Sementara kadar kemalangan maut paling tinggi melibatkan orang muda yang berumur di antara 16 hingga 25 tahun.
Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik yang melibatkan penggunaan kamera dalam usaha menambah baik dan meningkatkan penguatkuasaan di kawasan mudah berlaku kemalangan.
Pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor menyokong penggunaan kamera automatik. Katanya, ini menambah satu lagi langkah, dalam senarai langkah yang telah dilaksanakan selama ini. Beliau berpendapat ini tidak dapat mengubah dengan signifikan sikap pemandu kerana, pertama punca utama kemalangan di Malaysia ialah 'tidak mahir memandu'. Kedua, dasar kita terhadap saman berubah-ubah. Saman masih rendah dan tidak bersifat menghukum serta boleh pula mendapat diskaun. Malaysia belum faham konsep 'rakyat diutamakan'.
Dr. Abd. Rahim, Profesor Pengangkutan Awam dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati Ops Sikap hanya berkesan dalam mengurangkan kemalangan di musim perayaan (lihat rencana Utusan Malaysia, 20 September 2010). Malangnya, Ops Sikap melibatkan kos yang tinggi dan sumber manusia yang banyak. Sikap pemandu masih tidak berubah. Pemandu berdisiplin bukan kerana kesedaran, tetapi kerana mereka sedang diperhatikan oleh penguat kuasa undang-undang jalan raya.
Beliau melihat penggunaan kamera automatik kaedah yang berkesan untuk mengesan pemandu memandu melebihi had kelajuan. Bukti imej sah di mahkamah. Pihak berwajib perlu membangunkan suatu sistem pangkalan data yang besar, sentiasa di kemas kini, dan sistem penghantaran saman yang cekap dan boleh dipercayai. Bahagian penghantaran saman perlu kuat, kalau tidak data dan imej akan bertimbun-timbun, dan ada orang yang akan disaman dan ada pula yang terlepas atau lewat dihantar saman. Ini akan menjemput rungutan orang ramai tentang ketidakcekapan dan ketidakadilan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berpendapat pelaksanaan sistem automatik salah satu kaedah paling berkesan dalam meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan menahan kemungkinan pesalah trafik. Beliau menjelaskan kaedah ini selari dengan rancangan jangka panjang untuk 'visi sifar kemalangan maut'. Pelaksanaan sistem kamera automatik ini diharap membantu menyelamatkan nyawa rakyat.
Malaysia perlu belajar dan mengambil pendekatan terbaik daripada negara luar. Mungkin ia amat berguna untuk menyelamatkan nyawa rakyat, memerangi gejala rasuah dan menjadikan pemandu Malaysia berhemah di jalan raya.
Persoalannya, bagaimana Malaysia hendak mempercepatkan program ini. Janganlah kita terus memegang kecemerlangan sebagai negara paling tinggi kematian di jalan raya dalam kajian global.
sumber : Utusan Malaysia
Mentafsir 10 Tahun Ops Sikap
SEHINGGA musim perayaan terakhir minggu lepas, sebanyak 22 Ops Sikap telah dilaksanakan di negara ini. Ops Sikap yang mula diperkenalkan pada hujung tahun 2001 ialah antara inisiatif terbesar yang pernah dilaksanakan melibatkan ribuan anggota penguat kuasa dan perbelanjaan jutaan ringgit.
Data rasmi yang telah saya analisis menunjukkan kejayaan langkah-langkah mengurangkan kematian di jalan raya yang amat ketara di negara ini, khususnya sejak Ops Sikap dimulakan. Kajian menggunakan kaedah regresi multivariat dan dengan mengambil kira jumlah kenderaan, jumlah pemandu, jumlah penduduk dan panjang jalan, menunjukkan sekiranya program Ops Sikap tidak dilaksanakan di Malaysia, jumlah kematian tahunan sudah pasti jauh lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang. Misalnya, pada tahun lepas, negara kita mencatatkan 6,745 kematian di jalan raya untuk setahun (2009), pada hal sekiranya tiada Ops Sikap dan langkah-langkah lain, bilangan kematian tahun 2009 dijangkakan 9,116.
Kematian yang dijangkakan pada tahun 2005, 2006, 2007 dan 2008 ialah 7,684, 7,775, 8,293 dan 8,845 masing-masingnya, tetapi usaha-usaha pihak berwajib termasuk program Ops Sikap telah mengurangkan kematian itu kepada 6,188, 6,287, 6,282 dan 6,527 bagi siri tahun-tahun yang sama.
Bagaimana pun, rakyat Malaysia tidak sewajarnya selesa dengan angka-angka ini. Kalau kesedaran telah menyeluruh, sebenarnya kita boleh mengurangkan lagi jumlah kematian ini, seperti negara-negara maju di Eropah dan Jepun.
Ops Sikap yang berakhir baru-baru ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh segolongan pemandu kenderaan bermotor di negara ini. Data rasmi menunjukkan terdapat 196 peristiwa kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian, dan seramai 227 insan telah terkorban sepanjang kempen Ops Sikap ke-22 yang berakhir minggu lepas.
Dalam pada ramai yang bergembira berhari raya, setiap tahun banyak juga keluarga yang berendam air mata kerana kehilangan suami, isteri, anak atau ahli keluarga terdekat yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Rendang dan ketupat yang selalunya menjadi hidangan paling enak di pagi raya, bertukar menjadi hambar dan tawar kerana kesedihan telah membunuh selera makan seluruh keluarga. Jamuan rumah terbuka raya bertukar menjadi majlis tahlil dan kenduri arwah.
Tiada siapa yang perlu dipersalahkan kecuali si pemandu kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang dan orang-orang sekitarnya yang tidak menasihati. Negara kita mempunyai jaringan lebuh raya antara yang terbaik di dunia, berlorong lebar, lengkap dengan papan tanda, dan diceriakan pula oleh barisan pokok bunga dan pokok hiasan lain sepanjang laluan.
Kalau penat dan mengantuk boleh singgah di mana-mana kawasan rehat yang lengkap dengan kemudahan termasuk surau dan calet. Tidak cukup dengan itu, dalam musim perayaan polis ditempatkan di sepanjang lebuh raya untuk memantau pergerakan trafik yang sepatutnya menimbulkan kesedaran kepada pemandu bahawa maut menanti kalau tidak berhati-hati.
Di luar bandar, di mana terdapat banyak jaringan jalan negeri, jalan memang agak lebih berbahaya tetapi banyak yang telah dilebarkan dan diluruskan untuk mengurangkan risiko. Garisan putih dan kuning pada jalan di kawasan berbahaya, sepatutnya sudah mencukupi untuk mengingatkan pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan untuk mengelak musibah.
Tahun lepas, seramai 6,745 orang terkorban di lebuh raya di negara kita, memberikan purata kematian sekitar 18 orang sehari. Ini bermakna, antara subuh pagi ini dengan pagi esok, akan ada 18 orang yang mati sia-sia di jalan raya.
Angka ini tidak termasuk ratusan sehari yang cedera parah dan hilang upaya, cedera ringan dan terpaksa di rawat di hospital beberapa hari, dan hilang harta benda yang jutaan ringgit jumlahnya.
Apa yang menghairankan ialah masih ramai yang tidak insaf walau pun mereka tahu dan faham semua angka ini. Sikap yang diambil bagi kebanyakan pemandu, terutamanya motosikal, ialah bahawa dia tidak akan mengalami kemalangan; yang terlibat ialah orang lain.
Persepsi masyarakat terhadap konsep kematian juga agak pelik. Kalau seorang atau dua penoreh getah mati di baham harimau, beritanya akan tersiar dalam akhbar, lengkap dengan ceritanya sekali. Tapi, jumlah 18 orang mati di jalan raya setiap hari di seluruh Malaysia, tidak ramai yang peduli.
Kesakitan yang dideritai oleh seorang yang maut atau cedera parah dalam kemalangan jalan raya samalah dengan kesakitan dan penderitaan yang dirasai oleh seorang yang punggungnya dikerkah harimau, semuanya melibatkan kesakitan dan darah yang sama merah.
Cerita tentang orang yang dibunuh kejam yang hanya melibatkan beberapa orang sahaja, terus-terusan menjadi hiasan di dada akhbar harian selama berminggu, tetapi jumlah belasan orang yang mati setiap hari di jalan raya tidak begitu menarik perhatian orang ramai, pada hal kesakitan adalah sama, dan darah yang tumpah adalah sama merah.
Berbagai-bagai usaha yang dianjurkan oleh pihak berwajib sejak dua puluh tahun lepas masih belum dihayati sepenuhnya oleh sebilangan pemandu, terutama yang menggunakan motosikal.
Tempoh operasi sekali Ops Sikap ialah dua minggu walaupun terdapat beberapa Ops Sikap yang tempohnya hanya seminggu yang dipanggil Ops Sikap Khas.
Statistik 22 kali Ops Sikap sepanjang tempoh 2001-2010 bagi bilangan peristiwa kemalangan dan jumlah nyawa yang terkorban atau cedera amat menyedihkan. Bagi 22 Ops Sikap dalam tempoh 2001-2010 itu, sebanyak 279,204 peristiwa kemalangan berlaku, di mana 3,909 peristiwa kemalangan melibatkan sekurang-kurangnya seorang mati.
Jumlah yang mati pula ialah 4,479 orang. Purata bilangan yang mati dalam sehari mencapai dua digit, dengan Ops Sikap IV (Tahun Baru Cina 2003) mencatatkan bilangan mati purata harian paling rendah iaitu 11 dan Ops Sikap III (Hari Raya 2002) mencatatkan purata paling tinggi iaitu 18 orang sehari.
Ini juga bermakna purata kematian sehari sebanyak 16 orang dalam Ops Sikap 22 baru-baru adalah antara yang tertinggi dalam tempoh sejarah program ini selama sepuluh tahun.
Kajian mudah yang menggunakan kaedah ganda dua terkecil yang saya jalankan terhadap data bagi 22 Ops Sikap (2001-2010) menunjukkan trend purata kematian harian yang jelas meningkat, iaitu pada purata 5.4 peratus bagi setiap Ops Sikap atau sekitar purata 10.8 peratus setahun.
Data ini jelas memberi amaran kepada kita bahawa jumlah kematian akan berterusan, sekiranya pengguna jalan masih tidak sedar. Bolehkah kita mengharapkan keajaiban bahawa pada tahun hadapan Ops Sikap akan mengurangkan kematian kepada aras yang lebih rendah, misalnya di bawah 10?
Hasil analisis data saya menunjukkan harapan ini sukar menjadi kenyataan. Petunjuk yang ada pada saya setelah meneliti dan menganalisis data 22 operasi Ops Sikap memberitahu bahawa perangai sebahagian pemandu di Malaysia masih tidak berubah, dan tidak mungkin akan berubah dalam tempoh terdekat, misalnya dalam setahun dua akan datang.
Kalau tempoh dua minggu itu dipecahkan kepada tiga tahap selama lima hari setiap tahap, kajian saya juga menunjukkan bahawa dalam Ops Sikap September 2010 ini, kejadian kemalangan di jalan-jalan dalam kawasan perbandaran adalah tinggi di peringkat awal, kemudian turun di peringkat pertengahan dan naik semula di peringkat akhir.
Sebaliknya, bagi jalan-jalan Persekutuan, kejadian kemalangan adalah rendah di peringkat awal, tinggi di peringkat pertengahan, dan rendah semula di peringkat akhir. Kemalangan pada lebuh raya tol juga menunjukkan pola tahap-tahap yang hampir serupa dengan jalan kawasan perbandaran iaitu tinggi, kemudian rendah dan tinggi semula.
Tafsiran saya terhadap data ini ialah begitu besarnya kesan balik kampung di negara kita ini, berbanding dengan negara maju. Pola ini sewajarnya dipelajari dan dihayati oleh sesiapa juga yang bakal 'mengemudikan' kereta atau motosikal dalam musim perayaan.
PROFESOR DR. ABD. RAHIM MD. NOR ialah Profesor Pengangkutan Awam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
sumber : Utusan Malaysia