KUCHING, 28 Jun (Bernama) -- Filem berjudul ''White Rajah'' dengan kos
kira-kira US$15 juta (US$1: RM3.2) yang mengisahkan kecintaan James Brooke
terhadap keindahan, hidupan liar serta budaya masyarakat Melayu, Dayak dan Cina
di Sarawak, dijangka memulakan penggambarannya tahun depan.
Pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Margate House Films, Rob Allyn berkata
syarikatnya berganding bahu dengan Brooke Trust, yang akan bertindak sebagai
penasihat teknikal, untuk memberi nasihat tentang kandungan sejarah, reka bentuk
bangunan dan kenderaan air yang akan digunakan dalam filem berkenaan.
"Memang terdapat banyak pantai yang indah, hutan, sungai, hidupan liar,
kemudahan pelancongan dan studio filem tercanggih di rantau ini, tapi untuk
membuat penggambaran bagi keseluruhan atau sebahagian daripada filem ini di
Malaysia, tempat kisah ini sebenarnya berlaku, menjadi impian pengeluar filem
ini.
"Kami datang ke sini atas jemputan keluarga Brooke dan kerajaan untuk
menjejaki laluan yang pernah diterokai Rajah dan meninjau sama ada filem yang
melibatkan perbelanjaan yang begitu besar ini sesuai dibuat penggambarannya di
sini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg
dan Jason Brooke daripada Tabung Warisan Brooke.
-- LAGI
FILEM-BROOKE 2 KUCHING
"Berpandukan nasihat teknikal yang diberi Brooke Trust dan bantuan
Kementerian Pelancongan serta kerajaan Malaysia dan Sarawak, kami merancang
menghasilkan sebuah filem pengembaraan yang sarat dengan adegan lasak, romantik
dan ranggi mengikut tradisi filem epik seperti ''Braveheart'', ''Gladiator'', ''The
Man Who Would Be King'', ''Lawrence of Arabia'' dan ''The Last of the Mohicans''."
Beliau berkata Margate House Films dan Brooke Trust bercadang membina
replika kapal ''Royalist'' mengikut saiz asalnya, yang digunakan James Brooke
untuk belayar ke Sarawak pada akhir 1830-an.
"''Royalist'' akan digunakan bagi penggambaran babak pelayaran James Brooke
dan pertarungan dengan lanun. Kapal ini akan ditinggalkan di Kuching untuk
dijadikan suatu daya tarikan warisan dan bahan pameran muzium," katanya.
Beliau berkata seramai lapan pelakon terkenal Hollywood British-Australia
disenaraikan sebagai mereka yang berpotensi untuk melakonkan watak Rajah Brooke
dalam filem itu.
--LAGI
FILEM-BROOKE 3 (AKHIR) KUCHING
"Dengan adanya penglibatan bintang Hollywood, beratus krew penggambaran dari
dalam dan luar negara, beribu-ribu pelakon tambahan dan wujudnya peluang
pekerjaan, latihan dalam bidang perfileman serta peluang tontonan di seluruh
dunia, ''White Rajah'' boleh melonjakkan industri pelancongan di sini. Ia
merupakan filem yang melibatkan perbelanjaan paling besar di Sarawak," katanya.
Sementara itu, Jason, cucu kepada Anthony Brooke, yang bergelar Rajah Muda
pada zaman pemerintahan Brooke, berkata Brooke Trust akan memberi sokongan penuh
terhadap penghasilan filem itu.
"Brooke Trust amat gembira dengan keseluruhan pendekatan kreatif, perhatian
terhadap kesahihan, kepekaan terhadap budaya dan sejarah Sarawak, kualiti skrip
dan minat mendalam yang dipamerkan Margate House Film terhadap penerbitan filem
mengenai sejarah Rajah Brooke ini.
"Kami ke mari dengan harapan filem ini dapat dibuat penggambarannya di sini.
Filem seperti ''White Rajah'' ini akan memberi manfaat besar kepada pelancongan,
ekonomi, nama dan imej Sarawak," katanya.
-- BERNAMA
AHH NBA2 AO SP RHM