SEMPORNA: Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan berusaha menaik taraf kemudahan asas dan prasarana pos kawalan keselamatan di kawasan itu bagi keselesaan anggota pasukan keselamatan.
Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek, berkata diharapkan dengan cara itu, anggota pasukan keselamatan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas mereka, sekali gus meningkatkan lagi kawalan keselamatan.
"Kemudahan yang dimaksudkan meliputi tempat tinggal, bekalan air dan elektrik serta pejabat operasi," katanya, di sini hari ini.
Mohammad bersama pegawai ESSCOM kini dalam rangka lawatan ke beberapa pos kawalan yang dikendalikan tentera dan Pasukan Gerakan Am di sekitar Tawau, Semporna dan Beluran.
Menurutnya tujuan lawatan adalah untuk meninjau keadaan pos kawalan dan pada
akhir lawatan itu pihaknya akan menyediakan kertas kerja bagi memohon peruntukan menaik taraf pos kawalan yang berkenaan.
Beliau juga berharap lawatan pegawai tertinggi ESSCOM memberi sokongan moral Kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas di perairan pantai timur Sabah. - BERNAMA