SEORANG pegawai veterinar memegang anjing yang dikenali sebagai Kabang pada satu sidang akhbar di Makati Metro, Manila semalam.
|
MANILA - Seekor anjing yang hilang separuh daripada mukanya kerana menyelamatkan dua budak perempuan disambut sebagai wira di sini semalam.
Anjing baka mongrel yang diberi nama Kabang itu dianggap sebagai wira selepas wajahnya cedera teruk kerana cuba menghalang anak perempuan dan anak saudara tuannya, Rudy Bunggal daripada dilanggar oleh sebuah motosikal pada tahun 2011.
Sebuah laman web, akaun Facebook dan Twitter kemudian diwujudkan untuk mengumpul dana. Usaha itu akhirnya berjaya mengumpul sumbangan lebih AS$27,000 (RM82,000) bagi membolehkan Kabang mendapat rawatan di Hospital Veterinar Davis, Universiti California, Amerika Syarikat.
Kabang yang berumur dua tahun itu kemudian menjalani siri pembedahan untuk membentuk semula wajahnya, selain merawat masalah cacing dan kanser yang dialaminya selama lapan bulan.
Usaha untuk memasang rahang palsu bagaimanapun tidak dapat dilakukan kerana kecederaan Kabang adalah serius. Namun, Kabang masih boleh mengunyah makanan dengan giginya. Ia juga mampu mengenali tuan dan pakar bedahnya dari Filipina, Anton Lim dengan baik.
Selepas disambut meriah di lapangan terbang Manila, Kabang dibawa berjumpa tuannya di Zamboanga. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my