KUALA LUMPUR 14 Mei - Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana individu Islam tampil membuat laporan polis mengenai penggunaan kalimah Allah oleh National Evangelical Christian Fellowship (NECF) Malaysia.
Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya juga mengharapkan agar pihak Jabatan Agama Islam Selangor dapat melakukan perkara sama demi kebaikan umat Islam.
Laporan itu perlu bagi membolehkan polis membuat siasatan terhadap NECF Malaysia yang jelas menyalahgunakan kalimah tersebut.
"Poster pihak NECF yang menyalahgunakan nama suci Allah ternyata merupakan suatu tindakan yang bersifat jenayah dan melanggar Jadual (Seksyen 9) Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
"Enakmen itu melarang penggunaan nama Allah serta istilah-istilah Islam lain oleh penganut agama bukan Islam yang mana seseorang melakukan kesalahan di bawah seksyen kecil (1) dan (2) dalam peruntukan itu boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM1,000,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
PPMM hari ini telah menerima aduan daripada beberapa NGO berhubung satu poster daripada NECF yang boleh diakses melalui capaian berikut http://www.facebook. com/ photo. php? fbid> 1503505 9847 9727&set>pb.141600779354 709.-2207520000.1368487205.& amp;type>3&theater dan boleh dimuat turun dari laman http://www.necf.org.my/view_file. cfm?fileid>613.
Menurut Zainul Rijal, disebabkan terdapat penggantungan keputusan berhubung kebenaran menggunakan nama Allah di dalam penerbitan berbahasa Melayu The Herald Weekly, maka kedudukan sedia wujud yang melarang penggunaan nama Allah bagi penganut bukan Islam tetap terpakai dan berkuat kuasa.
Tambahnya, kes tersebut yang merupakan permohonan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur masih belum dilupuskan dengan pendengaran kes di peringkat Mahkamah Rayuan, Putrajaya ditetapkan pada 23 Mei ini.
"Pada 23 Mei ini, pendengaran untuk pihak-pihak berhujah berhubung rayuan enam Majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) untuk menjadi pencelah kes itu manakala tarikh pendengaran rayuan permohonan substantif kes ditetapkan selepas pengurusan kes dijalankan di Mahkamah Rayuan pada 30 Mei.
"Adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang secara sengaja dan berterusan menggunakan nama Allah dalam konteks agama bukan Islam bagi sebarang tujuan, khususnya penerbitan dan sebarang usaha dakyah terhadap penganut agama Islam," jelasnya.
Sumber: Utusan
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my