Azizah sedang meninjau pameran yang diadakan pada majlis berkenaan.
KOTA KINABALU, 25 MEI: Wanita bekerja di Sabah hanya mencatit sejumlah 40 peratus walaupun terdapat sejumlah 60 peratus kaum wanita berjaya meneruskan pengajian di peringkat Universiti.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata terdapat banyak faktor yang menyebabkan jumlah kecil itu antaranya adalah disebabkan awal berkahwin dan terpaksa menjaga anak yang masih kecil.
Katanya, ramai wanita Sabah lebih cenderung untuk memilih untuk menjaga anak sendiri kerana bimbang dengan kebajikan serta proses penjagaan anak mereka yang tidak menepati seperti yang dimahukan.
“Sebenarnya ini satu kerugian kepada wanita kerana mereka berkelayakan dan mempunyai komitemen yang tinggi apabila diberikan tanggungjawab disamping boleh menunjukkan prestasi yang tinggi.
“Jika dilihat secara tidak langsung, keadaan demikian sangat merugikan negara kerana tenaga kerja itu tidak memilih untuk bekerja tetapi untuk duduk diam menjaga anak di rumah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Mahasiswa dan Kerjaya Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2013 kelmarin.
Hadir sama ialah Naib Canseor UMS, Prof Dr Mohd Harun Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Harjeet Singh dan Pengarah NAM Institute for Empowerment of Women (NIEW), Tan Sri Datuk (Dr) Rafiah Salim.
Beliau juga menjelaskan kementeriaannya akan memperluaskan lagi usaha mengenai program berkerja dari rumah seperti kerja-kerja pemasaran dengan memanfaat penggunaan internet.
Dengan itu ujarnya, wanita bukan sahaja menjadi seorang suri rumah yang baik tetapi pada masa yang sama mempunyai kerjaya sendiri dan mampu menjana pendapatan ekonomi keluarga.
Azizah berkata, usaha sedemikian akan diberikan penekanan yang tinggi agar wanita yang berkelayakan dapat memberikan sumbangan secara proaktif kepada pembangunan ekonomi negara.
Dalam pada itu, pihaknya juga mensasarkan sebanyak 55 peratus wanita akan bekerja di seluruh negara termasuk Sabah menjelang tahun 2015. Oleh Donald Ragang . Baca selanjutnya di
sini