LAHAD DATU - Ops Daulat masih diteruskan sehingga penyeliaan dan pengawasan operasi itu diambil alih Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
Beliau berkata, ketika ini pegawai tentera daripada Esscom sedang membuat pembelajaran dan mendapatkan maklumat mengenai bagaimana Ops Dauat dilaksanakan.
"Ops Daulat ini diteruskan. Ia diserahkan penyeliaan dan pengawasan operasi ini kepada Esscom secara berperingkat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zulkifeli berkata, jumlah anggota tentera di Lahad Datu akan dikurangkan dan akan mengatur gerak mereka ke kawasan lain seperti Semporna dan Sandakan secara beransur-ansur.
"Semasa operasi berlangsung, seramai 3,500 anggota tentera ditugaskan di sini dan pada hari ini, kira-kira 2,500 masih ditempatkan di sini. Begitu juga dengan kereta perisai, kita akan kurangkan perlahan-lahan," katanya. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my