NAJIB disambut oleh penduduk sejurus tiba pada majlis Penghargaan Ops Daulat di Dewan Semai Bakti, Desa Kencana, Felda Sahabat 16, Lahad Datu semalam.
LAHAD DATU – Operasi Daulat yang dilancarkan sejak 5 Mac lalu bagi menghapuskan pengganas Sulu dari Selatan Filipina akan ditamatkan beberapa hari lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, segala operasi keselamatan yang masih berjalan ketika ini akan diteruskan di bawah agensi khas iaitu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
“Esscom akan mengambil alih semua operasi bersepadu di bawah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone),” katanya pada majlis Penghargaan Ops Daulat di Dewan Semai Bakti, Desa Kencana, Felda Sahabat 16 di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md. Zin serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Menurutnya, keputusan menamatkan Ops Daulat tidak bermakna usaha menghapuskan musuh negara berakhir.
Sebaliknya, kata beliau, tindakan untuk menghapuskan sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya di timur Sabah, diteruskan.
“Penduduk Sabah sebulat suara memberi sokongan besar agar negeri ini merdeka di dalam Malaysia pada 16 September 1963,” ujarnya.
Perdana Menteri menegaskan, dua objektif utama kerajaan pada ketika ini adalah untuk menghapuskan terus semua pengganas, tali barut dan mereka yang terlibat dalam pencerobohan itu.
“Kita juga mesti pulihkan keadaan supaya rakyat rasa lebih selamat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya dalam ucapan di depan 7,000 penduduk setempat.
Dalam pada itu, ketika melancarkan Ibu Pejabat Esscom di Pangkalan Polis Marin Lahad Datu di sini, Perdana Menteri menyifatkan penubuhan agensi tersebut mencatat sejarah tersendiri apabila 48 jawatan yang diperkenalkan dalam agensi itu diluluskan hanya dalam tempoh 24 jam.
Najib memberitahu, pelantikan itu merupakan satu keputusan terpantas dalam sejarah Malaysia.
“Pada 6 Mac lalu, saya mengumumkan penubuhan Esscom dan Esszone melibatkan 10 daerah di Sabah.
“Hari ini (semalam), saya datang untuk melancarkan secara rasmi penubuhan Esscom dan penguatkuasaan Esszone. Dalam tempoh sebulan sahaja, agensi ini sudah berfungsi,” katanya lagi.
Esscom merupakan ejen penguatkuasaan bagi Esszone meliputi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah.
Ia bertujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini ekoran pencerobohan pengganas Sulu baru-baru ini.
Esszone meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan melantik Ketua Pengarah Esscom dan beberapa jawatan penting melibatkan tentera, polis dan awam.
Beliau turut mengumumkan Esscom akan memberi fokus kepada empat strategi utama iaitu menambah kemampuan dari segi risikan dan melakukan pemantauan efektif selama 24 jam.
“Dua lagi aspek penting adalah meningkatkan kemampuan untuk bertindak dan memberkas di laut serta menguatkuasakan tindakan sekiranya musuh sampai ke darat,” ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my