KUALA LUMPUR, 31 Mac — Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mendedahkan pihaknya ketika ini sedang memburu individu bergelar Datuk Seri Mohd Ridzwan Sulaiman dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tentangnya untuk berkongsi bagi membantu siasatan.
Menurut laporan portal berita Astro Awani, Hamza berkata pihaknya berhadapan kesukaran untuk menjejaki individu tersebut memandangkan tidak mempunyai banyak maklumat.
"Kepada sesiapa yang mengenali lelaki ini, diharap supaya melaporkan kepada pihak berkuasa ataupun beliau sendiri menyerahkan diri di balai polis berhampiran," kata Hamza yang dipetik berkata dari laman sesawang Astro Awani.
Menurut Hamza lagi, individu yang dikehendaki tersebut berasal daripada Pulau Pinang dan jawatannya yang terakhir dikenalpasti sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia.
Penceroboh Sulu bersenjata seramai 235 militan yang diketuai Agbimuddin Kiram telah mendarat di Lahad Datu, Sabah pada 9 Febuari untuk mengemukakan tuntutan terhadap negeri utara Borneo itu.
Sehingga Jumaat lalu, pencerobohan telah menyebabkan kematian 63 orang militan bersenjata Sulu, menurut angka daripada pasukan keselamatan Malaysia, ia juga menyebabkan kematian lapan orang anggota polis dan dua orang tentera.
Malaysia melancarkan Ops Daulat pada 5 Mac untuk menghapuskan pemberontak bersenjata Filipina selepas rundingan gagal membuahkan hasil.
Manila telah berkata mereka tidak akan menggugurkan tuntutan kesultanan tersebut terhadap Sabah, walaupun pihak berkuasa Malaysia menegaskan tuntutan itu tidak lagi sah kerana negeri tersebut telah bersama-sama membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Sumber: themalaysianinsider.com