MANILA 22 Mac - Ketua kumpulan pengganas Kiram, Azzumudie, dipandang sebagai wira oleh penduduk selatan Filipina kerana berjaya mengelak daripada ditangkap oleh pasukan keselamatan Malaysia, menurut seorang penulis di akhbar Filipina, Daily Inquirer.
Dalam kolumnya berjudul 'As I see It, wartawan veteran, Neal H. Cruz menyamakan Azzumudie dan rakyat Filipina yang didakwa ditindas di Sabah dengan kaum orang asli Amerika Syarikat (AS) dan keturunan Afrika yang menderita selama berdekad-dekad kerana dianiaya oleh peneroka imigran dari Eropah.
Cruz berkata, walaupun jika Azzumudie ditemui mati, dia tetap akan disanjung sebagai wira.
Beliau turut menyifatkan Presiden Filipina, Benigno Aquino sebagai orang yang perlu dipersalahkan kerana tindakannya dalam menangani krisis di Sabah yang 'mendatangkan kemarahan'.
"Beberapa tahun dari sekarang, kisah tentang Kesultanan Sulu dan pahlawannya serta bagaimana mereka ditindas dan dianiaya oleh kerajaan Malaysia dan Filipina akan diceritakan secara berulang kali di rumah-rumah penduduk selatan Filipina.
"Buku akan ditulis tentang mereka dan filem akan diterbitkan, cara sama seperti kisah orang asli AS dan penduduk AS keturunan Afrika disampaikan," tulis wartawan itu.
Beliau turut membidas pentadbiran Aquino kerana mengisytiharkan kesanggupan mereka untuk 'berunding', sedangkan kerabat Kiram didakwa dari mula lagi mahu rundingan diadakan. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130323/lu_07/Penduduk-selatan-Filipina-anggap-Azzumudie-sebagai-wira#ixzz2OJwoUaYD