KOTA BHARU -- Tahap komunikasi dan penguasaan Bahasa
Inggeris yang lemah merupakan faktor utama siswazah tempatan gagal mendapat
pekerjaan sesuai sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ab Rahim Md Noor
berkata faktor itu diakui dan sering kali dibangkit kalangan industri pekerjaan
di negara ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kebolehpasaran
Graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bersama Universiti Malaysia
Kelantan (UMK) di Kampus Kota universiti itu hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UMK merangkap Setiausaha Majlis Profesor Malaysia
Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose.
Ab Rahim berkata program itu adalah kolaborasi antara kementerian dan
universiti di seluruh negara yang bertujuan memperkasa kebolehpasaran siswazah.
-- LAGI
KPT-PELAJAR 2 (AKHIR) KOTA BAHARU
"Pelajar kita ini, dari segi periksaan mereka bagus, tetapi dari segi
penguasaan dan komunikasi mereka lemah. Mereka boleh menjawab soalan, tetapi
bercakap, temu duga, ceramah tidak sampai tahap yang memuaskan. Kita harap kita
akan memperkasa penguasaan bahasa Inggeris ini," katanya.
Ab Rahim berkata langkah yang dikenal pasti bagi mengatasi masalah
penguasaan bahasa Inggeris di kalangan siswazah adalah dengan mengadakan
program berfokus dan lestari secara berterusan.
"Maknanya, apabila masuk sahaja universiti, program memperkasa penguasaan
bahasa ini akan ada, selain menunjukkan persekitaran yang membolehkan mereka ini
mengunakan bahasa ini," katanya.
Untuk tujuan itu, beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan
peruntukan RM70 juta bagi melaksana program berkaitan di semua IPTA tahun ini.
Peruntukan itu tidak termasuk sejumlah RM30 juta lagi untuk penambahbaikan
dalam bidang keusahawanan, katanya.
-- BERNAMA