Gambar hanya sekadar hiasan.
LUNDU 15 Mac - Pembinaan Jalan Biawak dengan kos RM30 juta yang dijangka siap akhir bulan ini dijangka menarik lebih ramai pelancong ke Air Terjun Biawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina berkata, air terjun itu dilihat mampu menjadi aset pelancongan terbaharu negeri ini berikutan keindahannya.
"Setakat ini, program menjadikan air terjun satu tempat perlancongan sudahpun mendapat maklum balas sesetengah pihak dan terdapat seorang pelabur sudahpun bersetuju untuk melabur dalam projek ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita sewaktu mengiringi tinjauan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong ke projek pembinaan Jalan Biawak di sini hari ini.
Ranum berkata, kawasan berdekatan air terjun tersebut turut akan dimajukan dengan kemudahan dan taman supaya lokasi itu muncul sebagai pusat peranginan pilihan.
Sementara itu, seorang penduduk, Eric Pilor, 18, berkata, rancangan menjadikan air terjun tersebut sebagai tarikan pelancongan adalah amat baik dan wajar dilaksanakan.
"Pembukaan air terjun di kawasan kami bukan sahaja boleh menarik perhatian pelancong semata-mata bahkan membawa pengunjung menikmati panorama alam yang indah di samping merasai kehidupan di kampung," katanya.
Katanya, air terjun yang mempunyai tujuh tingkat ketinggian itu juga sesuai dijadikan lokasi perkhemahan dan pendakian gunung.
Sumber: Utusan