MIRI: Seorang guru sebuah sekolah rendah di sini, dijumpai mati dalam keadaan tersepit dalam kereta miliknya di rumah sewanya di Taman Da Shin, Jalan Miri Airport di sini.
Mangsa yang dikenali sebagai Chin Lin Hiong, 27, baharu balik bercuti sempena Tahun Baharu Cina dari Kuching dan hendak menghidupkan enjin keretanya yang ditinggalkan sepanjang bercuti, pada jam 8.30 pagi semalam.
Menurut sumber, ketika mangsa hendak menghidupkan enjin kenderaannya, tanpa disangka keretanya yang tidak berada dalam keadaan gear bebas, terlajak secara mengejut sejauh beberapa kaki ke hadapan.
Keadaan itu menyebabkan mangsa yang berada dalam keadaan tidak bersedia dengan separuh badannya berada dalam kereta, terperangkap lalu tersepit di antara kereta dengan tiang rumah, tempat keretanya diparkirkan.
Mangsa dipercayai meninggal dunia beberapa jam kemudian disebabkan masalah pernafasan.
Ketua Polis Miri ACP Mun Kock Keong ketika dihubungi semalam mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu polis mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematiannya.
Read more: http://www.theborneopost.com/2013/02/18/guru-mati-tersepit-ketika-hidupkan-enjin-kereta/#ixzz2LCsytRlp