Oleh : CLARA CHOOI
KUALA LUMPUR : Parti Progresif Sabah (SAPP) bertegas kepada Pakatan Rakyat (PR) bahawa parti dari negeri Sabah mesti bertanding di majoriti kerusi dalam dewan undangan negeri, dengan mengatakan ini adalah untuk melindungi autonomi negeri tersebut mengkut perjanjian Malaysia 1963.
Mengulangi pendiriannya, Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, berkata partinya sanggup untuk bekerjasama dengan PR dengan memberi kerusi Parlimen, membenarkan pakatan pembangkang itu memenangi Putrajaya.
Akan tetapi pentadbiran negeri haruslah kekal di tangan parti yang berakar umbi di Sabah, kata bekas ketua menteri itu, dan untuk mencapai perkara ini, berdasarkan nisbah kerusi parlimen-negeri perlulah mengikut formula partinya.
Terdapat 60 kerusi dewan undangan negeri dan 25 kerusi parlimen di negeri Sabah, yang sering dikatakan sebagai deposit tetap Barisan Nasional (BN) bersama jirannya Sarawak.
“Kita telah mengatakan PRU13 adalah tentang mengembalikan semula autonomi Sabah (dan Sarawak) seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan mengembalikan semangat penubuhan Malaysia.
“Deklarasi Kuching yang mengatakan Sabah, Sarawak mempunyai status yang sama dengan Malaya adalah relevan,” kata Yong melalui emel yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider.
Ahli politik lantang itu merujuk kepada deklarasi yang diumumkan dan diadaptasi oleh DAP, PKR dan PAS semasa sambutan Hari Malaysia 16 September di Chonglin Park, di Kuching, Sarawak.
Antara kunci kepada tujuh deklarasi itu adalah untuk mengembalikan semangat Perjanjian Malaysia serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan yang sama rata dalam Malaysia, “dengan mengembalikan autonomi Sabah dan Sarawak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan”.
“Jika konsisten dengan janji dan prinsip ini, parti peringkat negeri harus bertanding secara majoriti di peringkat negeri, dan PR boleh bertanding secara majoriti di kerusi Parlimen,” kata Yong lagi.
Terdapat banyak pembangkang di Sabah, dan menjelang pilihan raya umum ke-13 ini , mereka berebut jumlah kerusi dari 60 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan.
PR, pakatan pembangkang yang ditubuhkan di Semenanjung selepas kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya 2008, melihat ini adalah peluang untuk menjatuhkan gabungan pemerintah itu dari kubu mereka di Sabah.
Tetapi penduduk Sabah mula bersifat kenegerian apabila pembangkang di negeri itu mula menggunakan slogan “Sabah untuk Sabah”, yang menyebabkan rasa benci ke atas Malaya oleh penduduk tempatan.
Seperti SAPP, Parti Pembaharuan Negeri (STAR), yang diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata pentadbiran negeri harus dikuasai parti Sabah.
Kedua-dua PR dan SAPP masih belum berbincang dengan Jeffrey yang mahu meletakkan calon di majoriti kerusi atau semua 60 kerusi negeri.
Tetapi dengan SAPP yang masih mahu bertanding di sebahagian besar kerusi, dan PR masih tidak mahu berganjak, ia dilihat bakal menjadi pembangkang yang rapuh dalam menghadapi gergasi BN untuk merebut Sabah pada pilihan raya akan datang.
The Malaysian Insider melaporkan semalam perbincangan kerusi antara PR dan SAPP dihentikan buat sementara waktu, menurut rakan PR Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing.
Yong tidak menolak bahawa partinya menunggu PR membuat keputusan bagi menentukan formula kerusinya untuk tiga parti, Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang diketuai Bumburing dan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) yang diketuai Datuk Seri Lajim Ukin.
Kedua-dua Bumburing dan Lajim merupakan bekas orang kuat BN di Sabah tetapi meninggalkan parti masing-masing UPKO dan Umno untuk menubuhkan dua pergerakan politik pro-PR.
“Kita menunggu PR atau PKR untuk mereka menentukan formula rasmi dan kita akan umumkan kerana kita tidak hanya bertanggungjawab dengan parti tetapi dengan rakyat,” kata Yong lagi.
“Kita juga mahu tahu formula untuk Sarawak dan Malaya.”
Beliau enggan memberitahu jumlah kerusi yang SAPP mahu untuk berunding dengan PR, dan berkata “ini bergantung dengan formula PR”.
Yong juga tidak mengesahkan atau menafikan tentang kemungkinan partinya akan menentang calon PR dengan bekerjasama dengan STAR dalam pilihan raya akan datang.
“Jawapan bergantung kepada formula PR. Terima kasih,” katanya lagi.
Jika SAPP bertanding menentang PR, ini adalah kali kedua sejak 2008 sejak kedua-dua pihak berlawan sesama sendiri.
Pada November 2010, Yong sendiri bertarung dalam pertarungan tiga penjuru antara Ansari Abdullah dari PKR dan Datin Linda Yong Tsen Lin dari BN dalam pilihan raya Batu Sapi.
Yong, walaupun dalam kempennya menyeru rakyat Sabah untuk menyokong parti tempatan, mendapat tempat terakhir dalam pertandingan tersebut.
Pada ketika itu, bekas ketua menteri Sabah itu mengingatkan pengundi mengenai isu autonomi di Sabah yang menjadi salah satu faktor dalam perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963.
Beliau berulang kali merujuk kepada salah satu perkara dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold atau Suruhanjaya Inkuiri yang diketuai oleh Gabenor Bank of England Lord Cobbold pada 1962.
Suruhanjaya itu ditubuhkan bagi mengenalpasti rakyat Sabah, pada ketika itu itu dikenali sebagai Borneo Utara, dan Sarawak untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Suruhanjaya itu bertanggungjawab menulis Perlembagaan Malaysia menjelang pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Dalam laporan suruhanjaya tersebut, Lord Cobbold menerangkan suruhanjaya tersebut menyokong pembentukan Malaysia dan beliau “menyokong kuat” kerana ia adalah projek “yang boleh dijalankan” yang terbaik untuk kepentingan wilayah Borneo dan juga Persekutuan Malaya.
Pada Pilihan Raya 2008, BN kehilangan majoriti tradisi dua pertiga sebahagian besarnya kerana kalah semenanjung, dimana mereka hanya menang 85 kerusi dan pembangkang merampas 80 kerusi.
Penyelamat BN adalah Sabah, Sarawak dan Labuan dimana parti pemerintah itu mengalahkan pembangkang dimana mereka memenangi 55 kerusi parlimen manakala pembangkang hanya menang dua kerusi. (TMI)