KENINGAU 29 Oktober, video mengenai seekor rusa yang telah ditangkap telah diviralkan di facebook baru-baru ini. Dalam video tersebut mengisahkan beberapa orang pemburu haram telah memburu seekor rusa dengan menggunakan anjing pemburu.
Rusa tersebut telah dikejar oleh anjing dan terperangkap di sungai pegalan. Pemburu tsempat menghentak kepala rusa tersebut dengan batu sebelum melemaskannya di dalam sungai.
Video tersebut menyedihkan beberapa pihak kerana cara pemburu membunuh rusa tersebut.
Seperti yang kita tahu rusa merupakan haiwan yang dilindungi dan spesis terancam di Malaysia. Populasi rusa semakin berkurangan disebabkan kegiatan pemburuan haram dan permintaan yang tinggi terhadap haiwan ini.
Rusa adalah hidupan liar yang dilindungi dan aktiviti pemburuan haram akan mengurangkan populasi haiwan itu. Sesiapa yang didapati memburu haiwan itu secara haram boleh didakwa mengikut Seksyen 60 (1) dan 62 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan video tersebut, pihak kami memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kelibat individu yang terdapat dalam video tersebut supaya tampil segara membantu siasatan.
Pihak orang ramai juga boleh membuat aduan terus kepada pihak-pihak terdekat terutamanya Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.
Melalui Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang dibentangkan untuk kelulusan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.
Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup.
Sebenarnya Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang berkuat kuasa sejak 38 tahun lalu tidak pernah dipinda dan menyedari keperluan itulah mendorong kerajaan membentangkan akta baru bagi melengkapkannya bagi disesuaikan dengan keadaan semasa.
Dalam undang-undang baru itu, antara lain penalti lebih berat dalam rang undang-undang itu ialah Seksyen 60 hingga 65 yang mengkhususkan kepada penalti dengan menyentuh kesalahan memburu, menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen dan menjalan perniagaan tanpa permit sah.
Menurut Seksyen 60 itu, sesiapa yang memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi atau mengambil, menyimpan mana-mana bahagian haiwan itu tanpa lesen sah, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala Seksyen 61 pula menyatakan, sesiapa yang memburu hidupan liar dilindungi yang tidak matang dan tanpa lesen sah, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 62 menyatakan memburu hidupan liar betina yang dilindungi tanpa lesen juga boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 63, menjalankan perniagaan hidupan liar tanpa lesen dan Seksyen 64, memungut sarang burung tanpa lesen - dua kesalahan ini jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 65 berkaitan mengeksport dan mengimport hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen yang boleh didenda sehingga RM50,000 dan dipenjarakan sehingga setahun, jika sabit kesalahan.
Selain itu, bagi mana-mana pihak yang mengendalikan zoo, pembiakan baka dalam kurungan komersial, sarkas atau pameran hidupan liar serta menjalankan penyelidikan tanpa permit khas juga bakal berhadapan dengan hukuman lebih berat.